fbpx
Persembahan dari pelarian Sudan memukau pengunjung.

Seni satukan komuniti pelarian pelbagai negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IRAMA muzik, gerak tari tradisional dan deklamasi puisi bergema di Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) apabila ratusan pengunjung membanjiri The Refugee Fest 2026 sempena sambutan Hari Pelarian Sedunia.

Festival bertemakan A Celebration of Culture, Diversity & Resilience itu bukan sekadar menghimpunkan komuniti pelarian dari pelbagai negara, malah menjadi ruang untuk mereka memperkenalkan warisan budaya masing-masing kepada masyarakat menerusi persembahan seni, tayangan filem dan aktiviti interaktif.

Pengunjung disajikan dengan tayangan filem pendek yang mengangkat kisah kehidupan pelarian sebelum acara diteruskan dengan persembahan kebudayaan masyarakat Yemen.

Persembahan itu mencuri perhatian apabila penari memperagakan tarian tradisional yang diiringi alunan muzik Asia Barat, sekali gus memperkenalkan keunikan budaya Yemen kepada pengunjung.

Menurut pengarah video pendek dari Afghanistan, Nemat Ali, festival tersebut membuka peluang buat dirinya bekerjasama dengan komuniti pelarian dari pelbagai negara yang kini menetap di Malaysia.

Katanya, acara seumpama itu bukan sahaja menjadi platform untuk mereka mengetengahkan bakat dan budaya, malah membantu mengeratkan hubungan sesama komuniti pelarian serta masyarakat tempatan.

“Festival ini memberi peluang kepada kami untuk saling mengenali, berkongsi pengalaman dan bekerjasama menghasilkan sesuatu yang positif.

“Walaupun datang dari negara berbeza, kami disatukan oleh semangat yang sama untuk berkongsi budaya serta kisah kehidupan dengan masyarakat,” katanya kepada CitaRasa.

Majlis turut dihadiri Pengasas The Refugee Fest, Mahi Ramakrishnan; Timbalan Ketua Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia, Leyla Nugmanova serta bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang menyampaikan ucaptama berkaitan nilai kemanusiaan dan perpaduan.

Penulis (tengah) bersama-sama kanak-kanak dari Yemen.

Kemeriahan festival diteruskan dengan persembahan spoken word oleh Mohamed Sano, diikuti persembahan artis suara dan pengacara, Chacko Vadaketh serta alunan biola daripada Pangasaasanii Gowrisan dan Divya Sesshsan Balakrishnan dari The Temple of Fine Arts Kuala Lumpur yang mencipta suasana penuh harmoni.

Antara segmen paling menyentuh hati ialah deklamasi puisi oleh enam penulis dan aktivis daripada komuniti Rohingya, Afghanistan dan Myanmar.

Bait-bait puisi yang mengangkat tema kehilangan, harapan serta ketabahan berjaya menyentuh emosi pengunjung sebelum disambut dengan tepukan gemuruh.

Kemuncak festival menyaksikan persembahan GSD Performing Arts Studio sebelum pentas diambil alih oleh penari dari Sudan yang mempersembahkan tarian tradisional penuh bertenaga.

Bagi penari Sudan, Najla Jamal Aljak, festival itu memberi peluang istimewa untuk menghidupkan semula seni tarian tradisional yang jarang dapat dipersembahkan.

“Tarian yang kami persembahkan ini berasal dari kawasan utara Sudan yang dipengaruhi budaya Arab dan Afrika.

“Dengan gerakan yang rancak, rentak muzik tradisional serta penggunaan pakaian berwarna-warni yang mencerminkan identiti masyarakat setempat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN