fbpx
Akuarium besar di ruang tamu sebagai pemisah ruang menjadi tarikan utama kediaman.

Ketenangan gabungan tiga gaya dekorasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI sesetengah pasangan, rumah pertama bukan sekadar tempat tinggal, tetapi simbol perjalanan hidup yang dibina bersama.

Begitu juga bagi Aryani Harith dan suaminya, Muhammad Hishamuddin Muhd. Jefry yang menjadikan kediaman pertama mereka sebagai ruang mencipta kenangan bersama keluarga.

Pasangan ini mengenali antara satu sama lain sejak zaman sekolah menengah sebelum hubungan mereka berkembang daripada sahabat kepada pasangan hidup.

Mereka mendirikan rumah tangga ketika masing-masing berusia 20 tahun dan kini sudah sembilan tahun bersama serta dikurniakan tiga cahaya mata.

Sebelum memiliki rumah sendiri, pasangan ini menetap di rumah sewa selama enam tahun sebelum berjaya membeli kediaman pertama ketika berusia 26 tahun.

Mereka mula menetap di rumah tersebut pada September 2023.

Mengutamakan konsep ringkas dan tidak terlalu sarat, Aryani memilih gaya Japandi sebagai tema utama dengan gabungan sedikit sentuhan Mid-Century Modern dan Industrial.

“Warna putih, kayu dan hitam dipilih kerana mampu mewujudkan suasana tenang, moden serta mudah dipadankan dengan pelbagai perabot.

“Saya memang sukakan elemen rotan kerana memberi rasa lebih hangat dan menjadikan suasana rumah lebih selesa,” ujarnya kepada CitaRasa.

Menurut Aryani, inspirasi dekorasi rumah tercetus daripada keinginannya untuk memiliki kediaman yang kemas tetapi masih praktikal untuk didiami bersama anak-anak.

Dia lebih gemar konsep sederhana yang tidak memerlukan terlalu banyak hiasan, sebaliknya memberi fokus kepada keselesaan keluarga.

Keseluruhan proses menghias rumah mengambil masa kira-kira dua tahun. Aryani tidak melengkapkan kediaman tersebut dalam satu masa, sebaliknya membeli perabot dan aksesori secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan.

“Cabaran paling besar sudah tentu dari segi bajet. Saya membeli barangan rumah sedikit demi sedikit menggunakan duit yang diberi suami dan hasil pendapatan daripada perniagaan dalam talian.

Ruang tamu tampil kemas dengan pilihan sofa berona lembut.

“Walaupun mengambil masa, saya lebih puas kerana setiap sudut rumah dibina secara perlahan-lahan,” katanya.

Menariknya, semua dekorasi rumah dilakukan sendiri oleh Aryani dan suami tanpa menggunakan khidmat pereka dalaman.

Setiap perabot dan aksesori dipilih berdasarkan kesesuaian konsep serta bajet yang ditetapkan.

Antara ruang kegemarannya ialah ruang makan yang dihiasi dengan set meja makan berunsurkan rotan kerana menjadi lokasi keluarga berkumpul setiap hari.

Selain itu, akuarium besar di ruang tamu turut menjadi tarikan utama kediaman mereka. Idea itu dicetuskan oleh suaminya sebagai alternatif untuk memisahkan ruang tamu dan ruang makan tanpa perlu membina dinding.

“Akuarium itu pada asalnya bertujuan sebagai pembahagi ruang dan memberikan sedikit privasi supaya orang dari luar tidak terus nampak ke ruang tamu.

“Tak sangka pula ia jadi tarikan utama setiap kali tetamu datang,” ujarnya.

Tambah Aryani, meja makan merupakan antara barangan dekorasi paling bermakna kerana dibeli secara preloved selepas sukar mencari reka bentuk yang menepati cita rasa.

Dalam memastikan setiap perabot serasi, Aryani menetapkan tema warna putih, kayu dan hitam sejak awal.

Kebanyakan perabot putih pula dipilih daripada IKEA kerana reka bentuknya mudah dipadankan.

Baginya, kualiti menjadi keutamaan kerana perabot dianggap sebagai pelaburan jangka panjang.

“Rumah yang cantik tidak semestinya perlu dipenuhi barang mahal.Paling penting ialah ruang itu selesa untuk keluarga dan setiap sudutnya mempunyai cerita yang kami bina bersama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN