SEKALI pandang, anak jati Kuala Lumpur ini sama seperti gadis-gadis di luar sana, namun tiada siapa menyangka Noor Farzana Noordin, 21, sebenarnya memiliki bakat yang jarang ada pada wanita seusianya.
Merupakan penuntut ijazah sarjana muda di universiti swasta, Noor Farzana yang cukup dikenali dengan jiwa bebas, kreatif dan bersemangat ini sangat berbakat bermain gitar elektrik.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis dengan nama mesra Nana yang menghiasi Pesona Ahad minggu ini berkongsi mengenai perjalanan dan pengalaman hidupnya dalam mencapai cita-cita.
KOSMO! AHAD: Boleh ceritakan tentang diri Nana?
NOOR FARZANA: Saya seorang yang aktif di media sosial. Suka berkongsi kandungan gaya hidup, humor, kecantikan serta hobi. Kadangkala berkongsi tentang penjagaan kulit.
Bagaimana membesar sebagai anak bongsu daripada empat beradik?
Orang selalu anggap anak bongsu manja, namun pengalaman banyak membentuk siapa saya hari ini. Dari kecil, saya seronok cari duit sendiri bermula dengan bisnes kecil-kecilan semasa di sekolah rendah, berterusan sampai sekolah menengah dan sekarang. Sifat ingin berdikari buat saya lebih tegas dalam mencapai matlamat. Abang dan kakak jadi contoh kepada saya.
Nana gemar bermain gitar elektrik. Band atau pemuzik yang mempengaruhi minat Nana?
Mula main gitar elektrik masa umur 15 tahun terinspirasi dengan band Korea, Day6. Pada 2019, saya beli gitar elektrik pertama hasil bisnes di sekolah dan belajar sendiri melalui YouTube untuk main lagu-lagu kegemaran. Tahun lepas, saya berpeluang pergi ke konsert Day6, pertama kali mereka datang ke Malaysia. Selain Day6, saya juga banyak dipengaruhi oleh band seperti Nirvana dan Arctic Monkeys.
Nana suka dekorasi bilik. Bagaimana Nana gambarkan gaya dekorasi dengan personaliti diri?
Banyak terinspirasi daripada media sosial Pinterest ‘cozy rooms’ (bilik selesa). Dari situ timbul minat sentiasa tukar suasana bilik ikut tahun. Tahun 2022, bilik saya masih ringkas dan minimum dengan sofa putih, meja kayu dan ambal lembut nampak tenang dan segar. Masuk 2023, mula berani tambah elemen lebih matang dengan karpet gaya Turkiye, sofa baharu dan susunan lebih peribadi.
Hujung 2024, suasana berubah lagi kepada lebih ‘playful’ dan ‘youthful’ dengan warna merah jambu, manakala tahun 2025 pula lebih ‘bold’, campuran cetakan haiwan pada tempat tidur, sentuhan kewanitaan dengan warna merah jambu, ‘playful’ dan hiasan comel, tapi tetap selesa.
Sumber inspirasi Nana?
Inspirasi terbesar ibu dan abah. Ibu seorang wanita kuat, selalu tekankan proses usaha lebih penting daripada hasil, asalkan saya sudah buat terbaik, itu sudah cukup bagi dia. Abah pula sentiasa jadi penyokong utama, percaya dengan saya, bagi peluang untuk teroka dunia.
Pada masa sama pastikan saya kekal fokus kepada akademik. Selain keluarga, saya banyak terinspirasi daripada orang yang berani keluar dari zon selesa untuk capai sesuatu.
Bagaimana membahagikan masa antara pelajaran, hobi dan kehidupan sosial?
Saya seorang yang ambil serius akademik, lebih-lebih lagi sebab di bawah biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) saya peroleh hasil keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bila belajar, fokus sepenuhnya. Contohnya, saya tutup telefon dan minta ibu sembunyikan supaya 100 peratus fokus sampai habis topik.
Dari segi cipta kandungan di media sosial, biasanya sudah siapkan jadual untuk video ulasan supaya semuanya teratur dan tidak serabut. Untuk bersosial dengan kawan-kawan, hanya akan keluar bila sama-sama ada masa terluang.
Sebagai peminat aktiviti mendaki, apakah kenangan paling manis Nana?
Waktu pertama kali mendaki masa umur lapan tahun di Bukit Besi. Walaupun bukit itu sesuai untuk pemula, saya tetap nangis sebab penat. Waktu itu saya kanak-kanak berisi, tak kuat stamina. Tapi ibu abah pujuk dan naikkan semangat sampai habis mendaki, siap bagi saya epal nak pujuk.
Impian jangka panjang ingin Nana capai?
Terus berkembang dalam bidang yang saya minat, sama ada dalam media, pencipta kandungan atau kerjaya profesional. Saya juga mahu ada kebebasan untuk mengembara tanpa beban kewangan, sebab saya percaya pengalaman lebih berharga daripada sekadar kejar duit semata-mata. Akhirnya, impian saya adalah untuk bina kehidupan stabil, dilengkapi bahagian dan aman.














