GUA MUSANG – Berawal daripada bantuan ringkas melicinkan kayu dua dekad lalu, seorang pesara kerajaan kini menerusikan hobinya terhadap seni pertukangan dengan mengumpul lebih 100 koleksi senjata tradisional dan moden dari seluruh dunia.
Ahmad Abdullah, 71, berkata, minat itu tercetus ketika membantu arwah rakannya yang merupakan seorang tukang besi menghasilkan pisau, golok, pedang dan keris.
Katanya, dia ketika itu hanya membantu melicinkan kayu untuk dijadikan hulu dan sarung senjata sebelum mula menghargai nilai seni pertukangan yang dihasilkan.
“Lama-kelamaan saya semakin meminati hasil buatan yang sangat halus terutama ukiran pada hulu dan sarung yang menggunakan kayu bermutu tinggi.
“Daripada situ, timbul minat untuk mengumpul pelbagai koleksi kerana setiap satu mempunyai keunikan dan nilai seni tersendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Wangi di sini semalam.
Ahmad memberitahu, koleksinya kini merangkumi lebih 100 bilah senjata tradisional termasuk moden yang diperoleh dari pelbagai negara termasuk Jerman, Sweden, Denmark, England, Amerika Syarikat, Jepun, China, Sepanyol dan Portugal.
Menurutnya, dia memilih setiap koleksi secara teliti melalui hasil pembacaan, rujukan dalam talian serta perkongsian bersama rakan yang mempunyai minat sama.
“Saya tidak tertumpu kepada barangan dari sesebuah negara sahaja dan lebih berminat dengan keluli buatan Eropah kerana terkenal dengan kualitinya. Saya juga mengumpul hasil buatan negara lain jika mempunyai keunikan tertentu.
“Senjata buatan tempatan juga tidak kalah. Identiti tradisional masih dikekalkan dan berharap lebih banyak kreativiti baharu dapat diterapkan tanpa menghilangkan nilai warisan,” katanya.
Ahmad berkata, senjata keluaran lama yang mempunyai ketahanan dan ketajaman yang tinggi memerlukan penjagaan rapi kerana mudah berkarat, berbeza dengan keluli moden yang lebih tahan karat hasil perkembangan teknologi.
Namun katanya, hasil pertukangan tempatan masih mampu bersaing kerana mengekalkan identiti tradisional yang sukar ditemui pada produk luar.
“Koleksi milik saya yang paling bernilai ialah sebilah pisau yang ditempah khas daripada arwah rakan dengan sarung tembus dan hulu bermotifkan kepala burung sedang memakan kacang.
“Koleksi ini mempunyai nilai sentimental kerana mengingatkan saya kepada individu yang menjadi pencetus minat terhadap seni pertukangan besi.
“Selain itu, saya turut memiliki beberapa koleksi istimewa termasuk hulu yang diperbuat daripada tanduk rusa dari Sarawak serta keris dengan hulu daripada kayu kemuning hitam yang mempunyai nilai estetika tinggi,” katanya.














