fbpx
Gambar hiasan.

Gadis Rohingya campak bayi dari tingkap hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga Rohingya akan dihadapkan ke Mahkamah Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkannya sebelum mayat bayi itu dimasukkan ke dalam beg plastik dan dicampak dari tingkap sebuah hotel di Bukit Indah, di sini, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kejadian itu terbongkar selepas polis menerima laporan mengenai penemuan satu janin yang dibungkus dalam plastik di sebuah lorong berhampiran Taman Nusa Idaman pada pukul 2.39 pagi, 5 Julai lalu.

Menurut beliau, hasil siasatan pantas membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di lokasi penemuan janin kira-kira pukul 4 pagi pada hari sama.

“Polis turut menahan seorang wanita keturunan Rohingya berusia 19 tahun di sebuah hotel di kawasan Bukit Indah bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua mereka juga didapati negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumarasan berkata, siasatan mendapati janin yang ditemui merupakan bayi kepada suspek wanita yang baru dilahirkan hasil hubungan dengan bekas teman lelakinya.

Menurut beliau, suspek dipercayai melahirkan bayi itu bersendirian di dalam tandas bilik hotel sebelum memasukkan mayat bayi ke dalam beg plastik hitam.

“Suspek kemudian membuang beg plastik berisi bayi itu melalui tingkap bilik hotel di tingkat dua sehingga jatuh ke lorong di bawah bangunan sebelum ditemui orang awam,” katanya.

Beliau berkata, suspek lelaki sebelum ini direman selama empat hari bermula 5 hingga 8 Julai lalu sebelum dijadikan saksi pendakwaan.

Katanya, suspek wanita pula direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bermula 5 hingga 18 Julai bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor yang mengarahkan wanita terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN