fbpx
Pemilihan warna natural, tekstur hangat dan susun atur ruang yang praktikal membantu memastikan kediaman ini kekal selesa untuk didiami setiap hari.

Sentuhan ‘modern luxury’ kediaman pemain bola sepak negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEDIAMAN pemain bola sepak profesional, Syafiq Ahmad tampil dengan suasana moden mewah menerusi gabungan rona warm greige, pencahayaan lembut dan kemasan premium yang melatari setiap sudut ruang.

Direka sebagai sebuah banglo binaan khas, kediaman pemain kebangsaan itu bukan sahaja menampilkan elemen eksklusif dan elegan, malah memenuhi gaya hidup aktif pemilik serta keperluan sebuah keluarga moden.

Menurut pereka dalaman dari Duoa Studios Design & Build, Aliff Izzudin Badlishah, idea awal konsep rumah tercetus menerusi sesi perbincangan bersama Syafiq dan isteri bagi memahami gaya hidup serta keperluan harian mereka.

“Sebagai seorang atlet profesional, Syafiq mahukan kediaman yang mampu memberi rasa tenang dan selesa selepas menjalani rutin latihan dan perlawanan yang padat.

“Daripada situ, kami mencadangkan konsep yang lebih elegan, kemas dan praktikal, di samping memenuhi keperluan ruang keluarga moden,” katanya kepada CitaRasa.

Syafiq Ahmad

Konsep moden mewah dipilih kerana dilihat paling sesuai dalam mewujudkan keseimbangan antara kemewahan, keselesaan dan fungsi harian.

Penggunaan tona warm greige sebagai warna asas membantu menghasilkan suasana sofistikated tetapi masih terasa hangat dan mengundang.

Gabungan material premium seperti permukaan bercorak marmar, venir kayu, kaca berona gelap dan kemasan logam turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan identiti kediaman ini.

Pada masa sama, elemen lapisan tekstur, pencahayaan ambien dan kemasan bina dalam khas memberi dimensi visual yang menjadikan ruang tampil lebih eksklusif tanpa kelihatan berlebihan.

Dalam menyesuaikan reka bentuk rumah dengan personaliti Syafiq sebagai atlet profesional, setiap ruang dirancang mengikut fungsi tersendiri.

Dapur dirancang lebih praktikal dan kemas kerana kerap digunakan keluarga.

Antara diberikan perhatian termasuk suite utama yang lebih privasi untuk keselesaan maksimum, bilik permainan sebagai ruang santai, bilik solat untuk keperluan spiritual serta ruang keluarga yang lebih terbuka bagi mewujudkan interaksi lebih selesa bersama keluarga.

Menurut pereka dalaman itu lagi, ruang makan, bilik tidur utama dan dapur menjadi antara ruang utama yang paling diberi perhatian dalam kediaman ini.

“Ruang makan direka sebagai impresi pertama rumah dengan elemen yang lebih kemas dan mengundang.

“Bilik tidur utama pula memberi fokus kepada privasi dan keselesaan, manakala dapur dirancang lebih praktikal dan kemas kerana ia antara ruang yang kerap digunakan dalam rutin harian keluarga,” jelasnya.

Walaupun menampilkan konsep mewah, setiap elemen dalam rumah tetap dirancang dengan fungsi yang jelas. Pemilihan warna natural, tekstur hangat dan susun atur ruang yang praktikal membantu memastikan kediaman ini kekal selesa untuk didiami setiap hari.

Bagaimanapun, antara cabaran terbesar dalam proses reka bentuk ialah memastikan keseimbangan antara estetika dan fungsi harian dapat dicapai.

Dengan skala rumah yang agak besar serta beberapa ruang khas yang diwujudkan, setiap zon perlu dirancang supaya aliran ruang kekal lancar tanpa mengorbankan privasi penghuni.

Sementara itu, wakil kontraktor dari Janas Construction & Development, Shufri Abdullah berkata, pembinaan rumah banglo binaan khas ini mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan, termasuk proses seni bina sebelum kerja dalaman dimulakan.

Kediaman ini dibina di atas tanah seluas 2,382 meter persegi dengan keluasan binaan sekitar 3,844 kaki persegi (357 meter persegi).

Menurutnya, cabaran utama sepanjang pembinaan adalah koordinasi kerja di tapak yang melibatkan banyak elemen tempahan khas dan perincian kemasan yang memerlukan ketelitian tinggi.

“Antara elemen paling mencabar ialah pembinaan tangga berpilin di bahagian tepi rumah kerana ia memerlukan koordinasi tambahan bersama pembekal dan tukang supaya hasil akhirnya tepat seperti yang dirancang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN