KEDIAMAN yang tersusun rapi dan kemas bukan sahaja memberi kepuasan dari segi visual, malah menyumbang kepada ketenangan mental serta emosi penghuni.
Justeru itu, pemilihan konsep dekorasi yang sesuai boleh memberikan kelainan dan membuatkan suasana rumah lebih harmoni.
Memilih dekorasi dalaman bercirikan minimalis modern Skandinavia, kediaman teres dua tingkat milik Nur Izzati Yaacob, 31, tampak ringkas, bersih dan kemas.
Elemen semula jadi seperti rona putih dan coklat muda dijadikan sebagai palet utama, sekali gus memberi kesan ilusi supaya ruang nampak lebih luas.
Sentuhan hiasan seperti tumbuhan yang dipadankan dengan perabot kayu dan fabrik dilihat berjaya menyerlahkan rekaan dalaman kediaman.
“Saya sukakan suasana yang ringkas. Disebabkan itu, konsep minimalis moden Skandinavia dipilih.
“Warna lembut, cahaya semula jadi dan susun atur yang kemas menjadi asas pada setiap ruang.
“Saya juga tidak suka hiasan yang terlalu sarat supaya rumah lebih selesa untuk didiami pada setiap hari,” katanya kepada CitaRasa.
Mengulas tentang rekaan dapur, Nur Izzati berkata, ruang tersebut direka berasaskan gaya moden minimalis dengan sedikit elemen farmhouse bagi menyeimbangkan fungsi dan estetika.
“Saya pilih warna putih supaya dapur kelihatan lebih luas.
“Saya juga pastikan ruang simpanan tertutup supaya dapur sentiasa kelihatan kemas dan teratur.
“Elemen kayu dan pencahayaan lembut turut diterapkan pada dapur bagi mencipta suasana lebih mesra serta mampu memberi ketenangan ketika aktiviti memasak,” katanya.
Sementera itu, ruang permainan kanak-kanak turut diberi sentuhan istimewa agar lebih selamat, ceria dan interaktif.
Penggunaan pastel dan corak yang comel berjaya menjadikan ruang itu kelihatan lebih menarik serta tenang.
Di samping itu, ruang tersebut tidak terlalu serabut kerana bimbang ia akan membuatkan kanak-kanak mudah berasa bosan.
Ruangan khusus itu bukan saja memberikan keselesaan kepada ahli keluarga, malah membantu menjadikan kediaman lebih kemas dan barang permainan tidak bersepah ke ruang lain.
“Pemilihan perabot berprofil rendah dan rak terbuka dapat memudahkan anak-anak mengakses permainan dan buku dengan mudah.
“Saya sediakan juga sudut ‘pretend play’ dan ruang bacaan mini supaya anak-anak saya dapat belajar sambil bermain,” ujarnya.
Warna pastel dan corak lembut digunakan bagi mengekalkan suasana tenang di ruang tersebut, sekali gus mengelak elemen visual yang terlalu merangsang atau serabut.
Selain itu, Nur Izzati berkata, penggunaan perabot pelbagai fungsi dapat membantu menjimatkan ruang dalam kediaman.
Ulasnya, perabot yang digunakan kebanyakannya adalah berwarna natural, tahan lama dan mudah dicuci.
“Sebagai ibu, saya perlukan perabot yang praktikal. Contohnya, meja kopi dengan ruang simpanan tersembunyi atau sofa tahan lasak dan mudah dibersihkan.
“Perabot kayu dengan rekaan moden turut digunakan bagi menambah elemen semula jadi yang serasi dengan tema keseluruhan rumah,” katanya.














