DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, gaya hidup minimalis semakin mendapat tempat dalam kalangan mereka yang mencari ketenangan di tengah kesibukan dunia moden.
Konsepnya ringkas iaitu memiliki kurang barangan yang bersifat material, tetapi hidup dengan lebih sederhana.
Bagi golongan ini, rumah bukan lagi ruang yang sarat dengan perabot dan barang simpanan, sebaliknya menjadi tempat bernafas yang lapang, tenang dan berfungsi.
Ada yang memilih untuk mengosongkan hampir keseluruhan ruang kediaman, hanya menyimpan keperluan asas.
Almari pakaian diringkaskan, koleksi beg dihadkan kepada satu atau dua yang benar-benar digunakan, manakala perabot dikurangkan sehingga tinggal yang paling perlu.
Proses menyusun semula kehidupan ini bukan sekadar tentang membuang barang, tetapi juga menilai semula kebergantungan terhadap pemilikan material.
Gaya hidup minimalis turut mencerminkan perubahan cara berfikir, daripada mengejar kuantiti kepada menghargai kualiti. Hujung tahun sebegini juga sebenarnya masa yang tepat untuk ‘declutter’.
Bagi seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Firasysafra, 35, tahun 2020 menjadi turning point dalam hidupnya, apabila dia menyedari bahawa dia boleh hidup secara minimalisme.

Minimalisme adalah falsafah hidup dan gerakan seni yang menggalakkan kesederhanaan, menumpukan pada perkara penting dengan memiliki lebih sedikit barang, mengurangkan kekacauan dan mengutamakan kualiti daripada kuantiti untuk mencapai kebebasan mental, kewangan dan kebahagiaan yang lebih besar.
“Ketika itu, saya mengikut suami yang berpindah kerja di sebuah negeri lain. Kami hanya menyewa sebuah bilik yang pada asalnya merupakan suite hotel dengan keluasan sekitar 41 meter persegi.
“Di situ cuma ada satu ruang tamu kecil, satu bilik tidur, satu sinki serta satu peti ais mini.
“Saya cuma bawa satu beg berisi pakaian, dapur camping untuk memasak dan beberapa alatan dapur ketika berpindah masuk. Selepas setahun lebih tinggal di situ, saya sedar bahawa saya boleh hidup tanpa barang-barang yang biasa saya miliki, tanpa rasa kurang apa-apa pun, semuanya serba cukup,” katanya membuka bicara bersama CitaRasa.
Dia yang mesra disapa Firas menambah, gaya hidup sedemikian bahkan menjadikan dia terasa lebih tenang dan ‘ringan’.
Bertitik tolak daripada itu, apabila pasangan itu berpindah masuk ke rumah sewa asal mereka yang terletak di Klang, Selangor, gaya hidup serba sederhana itu diteruskan sehingga ke hari ini.
Ujar Firas, pakaian yang banyak menjadi item pertama yang disingkirkan daripada hidupnya.
“Daripada dua ruang almari besar dan dua kotak menyimpan pakaian, sekarang saya cuma perlukan satu ruang almari sahaja untuk semua pakaian saya.
“Perubahan paling ketara yang saya alami susulan tindakan itu adalah saya tidak lagi ada momen termenung di hadapan almari setiap pagi, menjadikan kehidupan saya lebih lancar dan keputusan boleh dibuat lebih cepat,” kongsinya.

Wanita yang berasal dari Kelantan itu menambah, dia juga mula sedar bahawa terlalu banyak barang dalam hidup ini yang sebenarnya tidak diperlukan.
“Bagi saya, apa sahaja barang bukan keperluan, maka itulah barang yang kita sebenarnya tidak perlu, termasuk memiliki baju, kasut dan tudung dalam jumlah yang terlalu banyak,” katanya.
Biarpun mahu terus kekal hidup minimalis, Firas bagaimanapun berkata, dia amat menghargai hadiah yang diberikan orang buatnya dan akan memanfaatkannya sebaik mungkin.
“Orang berbudi, kita berbahasa. Saya amat hargai setiap pemberian dan jika hadiah itu menyebabkan barang saya bertambah, saya akan sisihkan barang lama saya untuk memberi ruang buat hadiah yang saya terima, contohnya jika hadiah itu berupa pakaian dan beg,” jelasnya.
Berkongsi nasihat buat yang baru bermula dengan gaya hidup minimalis, Firas menjelaskan bahawa ia bukanlah satu trend.
“Minimalisme adalah gaya hidup yang evergreen. Jika nak mulakan, buat secara perlahan-lahan, tak perlu terburu-buru sisihkan semua barang serentak.
“Dalam masa yang sama, kurangkan jua tabiat membeli kerana jika tidak, usaha declutter itu tidak memberi makna kerana barangan anda akan tetap bertambah.
“Pada saya, minimalisme ini juga tidak perlukan sebarang panduan atau kriteria yang wajib dicapai. Setiap orang akan alami dan capai tahap minimalisme tersendiri dan anda akan rasai tahap kedamaian yang lebih tinggi, hasil daripada proses melepaskan,” katanya.
Populariti minimalisme di Malaysia turut didorong oleh perkongsian di media sosial oleh seorang doktor, Amirah Alieya yang menggelar gaya hidupnya sebagai frugal minimalist.
Amirah menerusi akaun TikTok @minimyalist berkongsi dia dan suaminya yang mempunyai sebuah klinik di Bukit Changgang, Selangor memilih untuk menginap di ruang seluas empat meter persegi yang terletak di dalam klinik tersebut, mencuci baju di dobi dan memasak di ruang pantri.
“Saya dan suami mempraktikkan hidup minimalis sejak tahun 2017 dan melepaskan 95 peratus barangan kami.
“Sekarang apa yang kami ada muat dalam sebuah bilik kecil. Mengapa pilih hidup begini?
“Ini adalah cara kami, kami tidak dipaksa hidup begini. Sebab lain, kami cuba untuk berjimat, langsaikan hutang, hidup di bawah kemampuan kami dan akhirnya, mencapai financial freedom,” kongsi Amirah di TikTok miliknya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi, namun rata-ratanya memuji Amirah dan suaminya yang mampu bertahan dan tidak terpengaruh dengan dunia yang lebih menumpukan kepada overconsumption (membeli barang secara belebihan).
“Sekarang saya sedang memulakannya (gaya hidup minimalis), perlahan-lahan melepaskan barangan yang saya ada,” komen seorang netizen.
“Tenangnya rasa jika saya dapat hidup macam ni. Hidup dengan barang yang banyak ini sebenarnya beratkan otak,” komen seorang yang lain.
Bagi Amirah, tinggal dalam satu ruang yang cukup kecil juga mendidiknya untuk lebih berhati-hati untuk bawa masuk lebih banyak barang di ruang itu.
“Kami suka hidup bare minimum, dengan barangan keperluan yang secukupnya. Ia tidak memberatkan, bahkan kurang barang untuk dijaga. Adakah kami akan hidup begini selamanya? Mungkin, tapi apa yang pasti adalah minimalisme jadi kunci untuk kehidupan yang lebih tenang,” katanya.
Gaya hidup minimalis dan underconsumption bukanlah fenomena tempatan semata-mata, sebaliknya telah lama diamalkan di luar negara oleh beberapa figura yang menjadikannya sebagai cara hidup.
Antara yang paling dikenali ialah Marie Kondo dari Jepun, yang menekankan pemilikan barangan yang benar-benar memberi nilai dan kegembiraan, sehingga mencetuskan fenomena global decluttering.
Di Amerika Syarikat pula, Joshua Fields Millburn dan Ryan Nicodemus yang dikenali sebagai The Minimalists memilih untuk hidup dengan barangan minimum selepas meninggalkan kerjaya korporat, malah berkongsi pengalaman mereka melalui buku dan dokumentari.
Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa minimalisme bukan sekadar trend media sosial, tetapi satu pilihan hidup merentas budaya dan latar belakang.















