PESONA gaya minimalis yang mendominasi konsep dekorasi sepanjang tahun lalu dijangka akan mengalami peralihan ‘musim’ pada 2026.
Pada tahun ini, pemilik kediaman dijangka lebih menekankan tentang keseimbangan antara fungsi, emosi dan kelestarian seiring dengan gaya hidup pintar masa kini.
Pengguna dijangka akan beralih kepada konsep alatan automasi, kecerdasan buatan (AI), penjimatan tenaga dan gaya hidup lebih selesa.
Selain itu, pengguna dijangka beralih kepada peralatan elektrik mesra alam seperti mesin basuh pintar atau vakum pintar, selain menaik taraf keselamatan dengan menggunakan kamera AI dan smart lock (pintu cap jari).
Sementara itu, konsep rekaan bukan saja mengambil kira tentang keselesaan mental dan fizikal, sebaliknya memiliki ruang dalaman yang menyerlahkan pesona identiti pemilik.
Pilihan warna juga memainkan peranan penting, di mana pada tahun ini memperlihatkan rona berasaskan alam semula jadi diterjemahkan dengan gaya lebih moden dan sofistikated.
Menurut pereka dalaman, Fatin Aina Zainuddin, warna seperti terracotta lembut, coklat tanah, hijau sage serta greige iaitu gabungan warna kelabu dan beige dipercayai akan menyerlah sepanjang tahun ini.
“Warna-warna ini mencipta suasana menenangkan serta memberi rasa dekat dengan alam, sekali gus menjadikan rumah sebagai ruang perlindungan daripada tekanan luar.
“Bagi memperlihatkan kediaman kelihatan mewah, warna semula jadi (natural) boleh dipadukan dengan sentuhan rona gelap seperti arang (hitam atau kelabu gelap), hijau zamrud atau biru navy bagi menghasilkan kontras elegan dan eksklusif,” katanya kepada CitaRasa.
Bercakap tentang konsep rekaan pula, gaya minimalis lembut dan moden hangat atau warm modern bakal menjadi pilihan pemilik kediaman dalam usaha menjadikan ruang kelihatan lebih estetik, tanpa perlu menempatkan banyak perabot.
Pesona itu menampilkan susun atur lebih menarik dengan gabungan garis bersih dan tekstur lembut seperti kayu, fabrik linen, rotan dan kemasan perhiasan.
“Penggunaan bahan semula jadi bukan bersifat mesra alam, tetapi ia memberikan sentuhan organik yang membuatkan ruang berasa lebih tulen dan ‘hidup’.
“Pemilihan perabot vintaj juga berkemungkinan akan menyerlah pada tahun ini kerana ia dianggap simbol kelestarian sekali gus, membuatkan kediaman lebih berkarakter,” katanya.
Selain itu, tema retro-futuristik turut akan mencuri perhatian apabila gabungan elemen rekaan ala 1970-an dan 1980-an dengan teknologi moden menjadi pilihan golongan muda yang mahukan kelainan dalam susun atur kediaman.
Penggunaan perabot modular yang mampu berubah fungsi atau diletakkan bersamaan seperti meja sisi dengan sofa menjadi pilihan masa kini.
“Kita akan melihat bahagian sisi sofa terutama pada bahagian tempat letak tangan akan digabungkan bersama meja yang secara tidak langsung berfungsi seperti meja sisi (side table).
“Konsep suai dan padan antara perabot lama dan baharu pula akan membantu pemilik rumah mencipta suasana segar tanpa kos tinggi.
“Paling utama, teknik pencahayaan dan pilihan dekorasi termasuk tanaman hiasan dalaman menjadi elemen utama yang memberi impak besar dengan bajet minimum,” ujarnya.
Selain mengetengahkan gaya sederhana, penggunaan bahan premium seperti marmar semula jadi, kayu jati, logam keemasan dan fabrik berkualiti tinggi berupaya menjadi simbol kemewahan moden.
Gaya quiet luxury juga semakin mendapat tempat kerana kemewahan tidak terlalu menonjol tetapi jelas melalui kualiti, perincian dan ketelitian rekaan.















