fbpx
Festival ‘Showcase’ Kebaya Selangor dan Kelingkan di Kuala Lumpur baru-baru ini penuh dengan apresiasi seni warisan.

Memartabat seni kelingkan dan kebaya Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WARISAN tekstil Melayu bukan sekadar melambangkan indahnya busana tradisional, malah mencerminkan identiti dan kemahiran seni halus yang diwarisi turun-temurun.

Dalam era moden yang semakin dipengaruhi trend global, usaha mengangkat semula warisan tempatan menjadi semakin penting agar nilai budaya tidak hilang ditelan zaman.

Negeri Selangor mungkin selama ini kurang didedahkan dengan keunikan warisan seninya, tetapi ternyata menyimpan khazanah seni yang indah dan wajar terus dimartabatkan.
Seni kelingkan menjadi antara identiti tekstil negeri ini selain busana kebaya Selangor yang tersendiri.

Atas kesedaran itulah, Heritage Fashion Week 2026 baru-baru ini tampil dengan kelainan menerusi Festival ‘Showcase’ Kebaya Selangor dan Kelingkan yang bukan sahaja memperaga busana tradisi, malah menjadi platform memperkasa seni warisan agar terus relevan kepada generasi baharu.

Seni kelingkan adalah seni sulaman halus menggunakan benang logam emas atau perak. Seni kelingkan Selangor mempunyai identiti tertentu khususnya motif bunga tanjung pecah sembilan.

Seni kelingkan ialah seni sulaman halus menggunakan benang logam emas atau perak.

Menurut Pengasas Heritage Fashion Week, Datuk Asfarina Samion, penganjuran yang memasuki tahun keempat itu membuktikan komitmen dalam mengangkat fesyen berteraskan budaya tempatan.

“Kerjasama strategik bersama Karyaneka di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia turut memperkukuh usaha dalam pembangunan reka bentuk, penghasilan produk serta pemasaran supaya warisan tekstil tempatan mampu menembusi pasaran nasional dan antarabangsa,” katanya kepada CitaRasa pada Majlis Pelancaran Heritage Fashion Week di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Tambahnya, antara fokus utama festival kali ini ialah memperkenalkan seni kelingkan kepada masyarakat dengan lebih meluas.

Menurutnya, seni sulaman halus menggunakan benang logam emas atau perak itu merupakan antara khazanah tekstil Melayu yang mempunyai nilai estetika tinggi serta memerlukan ketelitian luar biasa.

Setiap helaian kelingkan dihasilkan melalui jahitan tangan yang rumit, membentuk motif bunga, dedaun atau corak tradisional yang memantulkan cahaya sekali gus menyerlahkan kemewahan dan keanggunan pemakai.

“Ia lazimnya diaplikasikan pada selendang, tudung, kebaya labuh, baju kurung, tanjak dan pelbagai busana tradisional menggunakan fabrik seperti sutera, baldu atau songket,” ujarnya.

Kata Asfarina lagi, walaupun sering dibandingkan dengan seni keringkam dari Sarawak, kelingkan mempunyai teknik jahitan dan identiti tersendiri.

Justeru, usaha memperkenalkan seni ini kepada khalayak melalui festival fesyen memberi peluang kepada orang ramai memahami nilai sebenar di sebalik setiap helaian sulaman, sekali gus menarik minat generasi muda untuk mempelajari dan mewarisinya.

“Dalam masa sama, Heritage Fashion Week 2026 turut memartabatkan Kebaya Selangor sebagai antara identiti busana tradisional negeri yang wajar dipelihara,” tambahnya.

Jelasnya, kebaya Selangor terkenal dengan potongan labuh dan longgar yang sopan, dilengkapi kolar teluk belanga atau bulat mengikut daerah, selain dihiasi sulaman halus, tekad emas atau kerawang yang menyerlahkan keindahannya.

Busana ini lazimnya dipadankan dengan kain batik Selangor, telepok atau songket, sekali gus mencerminkan pengaruh budaya Bugis, Jawa dan masyarakat Melayu Selangor yang membentuk identiti uniknya.

Dahulu, kata Asfarina, kebaya Selangor menjadi pilihan wanita Melayu dalam majlis adat istiadat dan acara rasmi.
“Kini, ia diberi nafas baharu melalui sentuhan pereka fesyen tanpa mengabaikan ciri tradisional yang menjadi identiti negeri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN