MELAKA – Dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini susulan banjir yang melanda beberapa kawasan sejak semalam, menjadikan keseluruhan tujuh PPS beroperasi di tiga daerah dengan seramai 1,005 mangsa daripada 350 keluarga dipindahkan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt. Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, dua PPS baharu itu ialah Balairaya Kampung Seri Jeram di Masjid Tanah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin.
Menurut beliau, pembukaan PPS tersebut dibuat berikutan peningkatan kawasan dinaiki air serta pertambahan mangsa yang memerlukan perlindungan.
“Sehingga kini, Melaka Tengah merekodkan empat PPS iaitu di SJK (C) Bertam Ulu, Japerun Pantai Kundur, SK Tanjung Minyak 2 dan SK Taman Bukit Rambai.
“Daerah Alor Gajah pula mempunyai dua PPS iaitu di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah dan Balairaya Kampung Seri Jeram, manakala daerah Jasin membuka PPS di SK Tehel,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, Melaka Tengah mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 942 orang daripada 301 keluarga, diikuti Jasin seramai 43 mangsa daripada 11 keluarga dan Alor Gajah seramai 20 mangsa daripada enam keluarga.
“Setakat ini sebanyak tujuh PPS dibuka melibatkan kawasan terjejas di ketiga-tiga daerah berkenaan, termasuk Bukit Rambai, Tanjung Minyak, Bertam Ulu, Pantai Kundor, Masjid Tanah dan Tehel,” katanya.-KOSMO! ONLINE.















