fbpx
Mahasiswa UUM bersama sebahagian daripada komuniti Temuan di Dewan Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Banting baru-baru ini.

Program Serumpun perkukuh kesedaran komuniti Temuan, mahasiswa UUM tentang literasi tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANTING – Lebih 250 peserta menghadiri Program Serumpun: Mahasiswa UUM Bersama Komuniti Temuan di Dewan Kampung Orang Asli Bukit Tadom di sini bertujuan untuk memperkukuhkan  kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti dalam usaha memperkasakan masyarakat Orang Asli melalui pendidikan, keselamatan dan pembangunan sosial.

Program anjuran pelajar Kursus Pembangunan Masyarakat IV (VKMB2041), Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) dijangka dapat meningkatkan kesedaran komuniti mengenai penggunaan tenaga secara cekap melalui sesi literasi tenaga, di samping memupuk kesedaran terhadap amalan keselamatan dan langkah-langkah pencegahan kebakaran.

Pengarah Program, Mohd. Khairulnizam Zainodin berkata, program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti Temuan, malah menjadi wadah kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti serta memupuk semangat kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

“Kami berharap Program Serumpun dapat memberikan manfaat kepada komuniti Temuan, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan tenaga secara cekap melalui amalan literasi tenaga dan langkah-langkah pencegahan kebakaran.

“Pada masa yang sama, program ini menjadi platform pembelajaran yang amat berharga kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, di samping menghayati nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti.

“Kami juga berharap jalinan kerjasama yang terjalin antara Universiti Utara Malaysia, agensi kerajaan, rakan korporat dan komuniti setempat menerusi Program Serumpun akan terus diperkukuh bagi melahirkan lebih banyak inisiatif pembangunan komuniti yang memberi impak positif dan mampan,” katanya dalam kenyataan.

 

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Hadi Anak Jembik, Pensyarah Kursus VKMB2041, Zulhairi Zakariah, yang mewakili Pengarah PACE UUM dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Bukit Tadom, Soeb Miah.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN