KUALA LUMPUR – Jurang pendidikan dalam kalangan Bumiputera tidak bermula di peringkat universiti, sebaliknya sejak usia awal kanak-kanak yang memerlukan perhatian menyeluruh.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, aspek asas seperti pendidikan awal berkualiti, persekitaran pembelajaran, budaya membaca, penguasaan bahasa dan sokongan keluarga memainkan peranan besar dalam membentuk generasi berdaya saing.
“Jika asasnya rapuh, sukar untuk kita melahirkan generasi yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Sebab itu pendidikan perlu dilihat secara menyeluruh dari awal kanak-kanak hingga pembelajaran sepanjang hayat,” katanya ketika berucap di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Menurut beliau, kongres itu menyasarkan pembentukan generasi Bumiputera yang memiliki kekuatan ilmu, kemahiran, daya cipta serta keutuhan akhlak.
Katanya, tiga pendekatan utama digariskan iaitu penyediaan kerangka strategik jangka panjang, reformasi dasar yang responsif serta iltizam politik bagi memastikan pelaksanaan berkesan.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan resolusi kongres tersebut dimasukkan sebagai agenda penting dalam Majlis Pendidikan Negara.
Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 menghimpunkan enam sesi utama melibatkan 25 pembentang pakar, dengan fokus kepada isu seperti dasar pendidikan Bumiputera, pengarusperdanaan tahfiz, pemerkasaan TVET, pendidikan awal kanak-kanak serta wakaf pendidikan.-KOSMO! ONLINE.














