SEREMBAN – Tindakan tiga lelaki mencuri kabel mengundang padah apabila dua daripadanya diberkas dalam kejadian di Jalan Tun Dr. Ismail di sini hari ini.
Suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan pada pukul 10.45 pagi selepas polis berjaya memintas kereta jenis Proton Waja yang mereka naiki.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, seorang daripada tiga suspek itu bagaimanapun dapat melarikan diri.
Katanya, pemeriksaan menemui 14 peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel selain beberapa senjata dan dua peket dadah.
“Mereka mengaku mencuri kabel di daerah ini. Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai tujuh dan 10 rekod jenayah lampau.
“Kereta itu pula didaftarkan di atas nama seorang wanita dan digunakan oleh suspek yang berjaya melarikan diri itu,” katanya.
Suspek akan direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya. – KOSMO! ONLINE














