LANGKAWI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dilaporkan lemas di kolam renang sebuah hotel di Kuah, di sini hari ini.
Mangsa dikatakan diangkat dari kolam oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan fizikalnya telah bertukar kebiruan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Adam Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada pukul 7.03 malam tadi.
Katanya, beliau yang kebetulan berada berhampiran lokasi bertindak pantas melakukan bantuan pernafasan atau resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa.
“Proses CPR dengan 30 kali tekanan dan dua hembusan dalam lima pusingan dilakukan sebelum kanak-kanak itu sedar sebelum pasukan BBP Persiaran Putra tiba di lokasi,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














