Perasmian terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu menjadi satu detik istimewa dalam industri penerbangan khususnya di Pantai Timur kerana ia bakal berupaya mengendalikan sehingga 4 juta penumpang setahun berbanding 1.7 juta pada 2025 dan 1.4 juta pada 2024.
Perkembangan itu juga bakal menyaksikan lapangan terbang itu mengendalikan penerbangan antarabangsa selepas ini. Selain terminal baharu, kerja-kerja pemanjangan landasan daripada 2.4 kilometer ke 2.8 kilometer juga bakal dimulakan tidak lama lagi.
Ia merupakan satu langkah besar dalam meningkatkan keterhubungan antarabangsa negeri itu yang bukan sahaja untuk memudahkan pergerakan rakyat ke luar negara, malah turut merangsang kepada pertumbuhan ekonomi negeri khususnya melalui sektor pelancongan mahupun perdagangan.
Untuk permulaan, khabarnya mulai Jun ini, AirAsia akan menyediakan perkhidmatan terus dari Kota Bharu ke Jakarta dan agensi-agensi pelancongan di negeri itu kini kelihatan ligat menyediakan pelbagai pakej pelancongan untuk menarik warga Kelantan melancong ke Jakarta serta Bandung.
Apabila projek pemanjangan landasan LTSIP siap sepenuhnya kelak, operasi penerbangan antarabangsa sudah tentu berpotensi untuk dikembangkan bukan sahaja ke Indonesia, malah ke negara-negara lain termasuk China, Korea serta negara Asia Tenggara yang lain.
Ironinya, perkembangan ini tidak seharusnya dilihat hanya sebagai peluang untuk rakyat Cik Siti Wan Kembang melancong ke luar negara semata-mata kerana lebih daripada itu kerajaan negeri juga harus memikirkan bagaimana Kelantan boleh memanfaatkan LTSIP untuk menarik pelancong luar.
Sudah tentu kita tidak mahu melihat agensi pelancongan tempatan hanya agresif mempromosikan pakej menarik ke luar negara untuk warga Kelantan, kerana pada masa yang sama kita mahu usaha untuk menarik pelancong antarabangsa ke Kelantan juga dilakukan secara agresif.
Dalam hal ini, kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan kreatif untuk memperkenalkan Kelantan sebagai destinasi unik dan istimewa kepada pelancong bukan sahaja dari Asia Tenggara, malah China, Korea atau Jepun. Apabila landasan baharu siap dipanjangkan sepenuhnya nanti, negeri Kelantan seharusnya sudah bersedia dengan produk-produk pelancongan menarik untuk dikunjungi pengunjung luar.
Jadi sekarang, perkemaskan semua produk pelancongan yang dimiliki termasuk sajian tradisi, tarikan sukan, alam semula jadi, pantai, songket, batik, keunikan tradiosinal budaya Melayu Kelantan serta segala infrasrutkur pelancongan supaya sentiasa berupaya untuk menarik pelancong untuk datang.
Usahakan supaya mereka menjadikan Kelantan sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi dalam itinerari mereka. Jika perlu, bina pusat-pusat tarikan baharu yang boleh menjadi mercu tanda menarik untuk pelancong.
Paling penting, pelbagaikan produk pelancongan supaya ia sesuai dengan pasaran antarabangsa dan usaha promosi yang betul pasti membantu menarik perhatian pengunjung luar untuk datang.
Jadi, pembukaan laluan penerbangan antarabangsa dari dan ke Kota Bharu adalah peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan secara menyeluruh. Bukan sekadar untuk memudahkan rakyat Kelantan ke luar negara, tetapi lebih utama ialah menarik dunia datang ke Kelantan.














