PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga kerja yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.
Seri Paduka Baginda berdua merakamkan penghargaan atas pengorbanan dan dedikasi para pekerja dalam pelbagai sektor sama ada awam mahupun swasta.
Sultan Ibrahim bertitah, peranan pekerja amat penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta memastikan kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara, walaupun berdepan cabaran ekonomi yang semakin mencabar ketika ini.
“Kepentingan kebajikan pekerja agar sentiasa diberi perhatian, termasuk aspek keselamatan, keseimbangan kehidupan dan peluang pembangunan kerjaya.
“(Ini) supaya mereka terus berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi,” titah baginda menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Seri Paduka Baginda turut mendoakan agar seluruh pekerja di negara ini sentiasa dilindungi serta dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan dalam menjalankan tugas masing-masing. – KOSMO! ONLINE














