SHAH ALAM – Tambahan senarai item untuk diberikan pengecualian cukai mampu merancakkan semula ekonomi dan kedatangan pelancong ke Pulau Langkawi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya berterima kasih atas maklum balas segera Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan mengenai perkara itu.
Jelasnya, beliau juga telah menemui Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam Mesyuarat Kewangan Negara, baru-baru ini.
“Saya harap jangan lah dikurangkan (item) dan mengutip cukai sahaja. Kalau kutip cukai tetapi orang tidak datang, kita akan rugi dalam sektor lain pula.
“Langkawi beri pulangan ekonomi kepada Kerajaan Persekutuan dalam sektor pelancongan antara RM4 bilion hingga RM7 bilion setahun. Jadi, lebih baik tambah item-item lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Anak Kedah di Perantauan di sini, hari ini. – KOSMO!ONLINE














