fbpx
Izham ketika sidang akhbar di Shah Alam. Foto oleh AFIQ RAZALI

Tanjong Sepat bebas ternakan babi Oktober ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Proses pengosongan keseluruhan ladang ternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat dijangka selesai selewat-lewatnya pada Oktober ini, sekali gus menamatkan operasi penternakan di kawasan berkenaan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, tempoh itu ditetapkan bagi membolehkan baki anak babi di lokaliti berkenaan mencapai usia matang antara tujuh hingga lapan bulan sebelum dilupuskan.

Katanya, ketika ini dianggarkan hanya kira-kira 12,000 ekor babi masih berada di kawasan itu berbanding sekitar 240,000 ekor sebelum proses pengosongan dilaksanakan.

“Kita telah membuat keputusan pada Februari lalu untuk membenarkan anak-anak babi yang masih ada dilupuskan apabila mencapai umur sesuai iaitu tujuh hingga lapan bulan.

“Ini bermakna proses pengosongan dijangka selesai sekitar September atau Oktober. Selepas itu, habislah proses pengosongan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan bengkel semakan semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Negeri Selangor di sini.

Izham berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor kini sedang menjalankan audit bagi mengemas kini jumlah sebenar ternakan yang masih berbaki.

“Pengosongan dilaksanakan secara berperingkat bagi memberi ruang kepada penternak menguruskan baki ternakan, kecuali jika dikesan wabak penyakit yang memerlukan tindakan sitaan serta-merta.

“Saya yakin selepas audit terkini oleh DVS, jumlah itu akan berkurangan lagi, mungkin sehingga separuh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Izham berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan DVS bersama perunding menjalankan penilaian terhadap tahap pencemaran tanah di kawasan terbabit sebagai persediaan bagi kerja-kerja pemulihan.

“Kita mahu ada inventori lengkap mengenai keadaan tanah supaya proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Harus difahami penternakan babi di kawasan itu telah diusahakan sehingga tiga generasi dan ramai kehilangan sumber pendapatan. Jadi kita usahakan tanah supaya boleh bantu mereka mencari rezeki untuk pendapatan mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mendapatkan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk pemulihan tanah serta membantu bekas penternak memulakan sumber rezeki baharu.

“Malah, ada dalam kalangan mereka yang sudah mula beralih kepada tanaman seperti limau,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN