fbpx

Remaja dituduh rampas teman lelaki dipukul dan dipijak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar menunjukkan mangsa ditarik rambut dan dipijak oleh suspek yang berusia 15 tahun.

PETALING JAYA – Sebuah klip video yang memaparkan seorang remaja perempuan berusia 12 tahun ditampar dan dipijak tular di laman Twitter dalam satu insiden yang dilaporkan berlaku di Kelana Jaya, di sini, semalam.

Video berdurasi 2 minit 20 saat itu menunjukkan seorang remaja memakai baju berwarna kuning menarik rambut mangsa sehingga membuatkan dia terduduk sebelum memijak dan menampar kepala mangsa.

Turut kedengaran suara beberapa remaja ketawa beramai-ramai dan bertepuk tangan apabila melihat rakan mereka mengasari mangsa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, mangsa mendakwa diserang dan dikepung remaja terbabit bersama empat lagi remaja perempuan berusia 12 hingga 15 tahun berdekatan tangga sebuah pangsapuri di Kelana Jaya.

Mangsa mendakwa remaja terbabit menuduh dia mempunyai hubungan dengan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

Video itu telah ditonton lebih 391,000 kali dan diulang kicau lebih 11,000 pengguna media sosial itu sejak dimuat naik pemilik akaun bernama @4rshrf semalam.

Menerusi rajutan di laman Twitter berkenaan, mangsa dikatakan mengalami beberapa kecederaan seperti bengkak pada bahagian leher serta kepala dan telah mendapat rawatan di hospital berhampiran.

Selepas video tersebut tular, seorang remaja dipercayai menjadi ‘ketua’ dalam insiden serangan itu menafikan kejadian disebabkan berebut teman lelaki sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham berkaitan penyebaran fitnah.

Namun, melalui Instagram miliknya, dia mengaku perbuatannya memukul mangsa kerana didorong perasaan marah dan geram.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid mengesahkan menerima laporan kes tersebut pada pukul 9.26 malam tadi dan kesemua suspek yang disyaki terlibat telah dikenal pasti untuk siasatan lanjut.

“Semasa kejadian terdapat rakan suspek merakam perbuatan itu dan menyebarkannya di kumpulan aplikasi WhatsApp dan laman Instagram suspek.

“Pihak polis menasihati masyarakat supaya menghentikan penularan rakaman video tersebut memandangkan kes masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI