MANCHESTER – Era kegemilangan Pep Guardiola selaku pengurus Manchester City akhirnya menemui noktah apabila kelab itu mengesahkan pengendali dari Sepanyol itu bakal meninggalkan Stadium Etihad pada penghujung musim ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh City sebentar tadi, Guardiola akan mengendalikan perlawanan terakhirnya menentang Aston Villa pada Ahad ini sebelum menamatkan tempoh sedekad penuh bersama City.
Difahamkan, Guardiola membuat keputusan menggunakan klausa khas dalam kontraknya yang sepatutnya berakhir pada Jun 2027 untuk meninggalkan kelab lebih awal.
Bagaimanapun, bekas pengendali Barcelona itu tidak akan meninggalkan sepenuhnya City apabila bakal memegang peranan baharu sebagai duta antarabangsa selain memberi nasihat teknikal kepada kelab-kelab di bawah rangkaian City Football Group.
“Jangan tanya sebab saya pergi. Tiada sebab tertentu, tetapi jauh di sudut hati saya tahu ini masa yang tepat.
“Tiada apa yang kekal selamanya. Yang kekal hanyalah perasaan, orang-orang, kenangan dan cinta saya kepada Manchester City,” katanya.
Sejak dilantik pada 2016, Guardiola telah menghadiahkan 20 trofi buat City termasuk enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris, tiga Piala FA, lima Piala Liga, satu Liga Juara-Juara Eropah serta Piala Dunia Kelab.
Antara pencapaian terbesar Guardiola bersama City ialah membantu kelab meraih treble Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara pada 2023 selain mengutip 100 mata dalam liga pada musim 2018. – AGENSI














