WASHINGTON – Microsoft menamatkan kira-kira 4,800 pekerjaan atau sekitar dua peratus tenaga kerja globalnya, dalam langkah penjimatan melibatkan penstrukturan semula menyeluruh divisyen permainan video Xbox yang sedang bergelut.
Pemberhentian kakitangan tersebut membabitkan rombakan paling besar dalam sejarah Xbox, dengan kira-kira 3,200 pekerja akan disingkirkan sepanjang tahun fiskal akan datang, termasuk jawatan di empat studio yang sedang dipisahkan atau dijual.
Pengumuman itu merupakan yang terbaru dalam siri pemberhentian pekerja besar-besaran oleh gergasi teknologi tersebut. Microsoft sebaliknya berbelanja besar untuk kekal dalam persaingan teknologi kecerdasan buatan (AI), dengan syarikat melabur berpuluh-puluh bilion dolar dalam pusat data AI dan kuasa pengkomputeran.
“Perniagaan kami berubah kerana dunia di sekelilingnya sedang berubah,” kata Naib Presiden Microsoft, Amy Coleman dalam memo kepada semua pekerja.
Coleman berkata, pemberhentian pekerja itu kebanyakannya berlaku dalam perniagaan komersial Microsoft dan Xbox.
Beliau berkata, pekerja yang diberhentikan ‘tidak digantikan oleh AI’ tetapi mengakui bahawa automasi sedang membentuk semula cara kerja di seluruh syarikat.
Di bahagian komersial, beliau berkata, pengurangan pekerja itu berdasarkan usaha Microsoft bernilai AS$2.5 bilion (RM10.2 bilion) untuk menempatkan 6,000 jurutera dengan pelanggan utama bagi mempercepatkan penerimaan AI. – AFP














