SUNGAI BULOH – Polis sedang mengesan seorang budak lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu kira-kira pukul 5.17 petang semalam.
Beliau berkata, orang hilang (OH) dikenali sebagai Muhammad Amirul Iman Juzaili dan kali terakhir dilihat di Felda Bukit Cherakah, Selangor kelmarin.
“Pakaian terakhir dipakai OH ialah baju jersi berwarna gelap serta seluar panjang hitam dan berketinggian 155 sentimeter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mangsa diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Sarjan Norsamsila Daud di talian 017-8701889 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














