KOTA TINGGI – Seorang warga emas dan suri rumah masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Pengerang di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menolong mengalihkan harta milik orang lain ke dalam akaun mereka tahun lalu.
Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Zainudin Md Zin, 61, dan Norlaili Ismail, 55, selepas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Zainudin didapati secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik Muslim Usol berjumlah RM2,977 ke dalam akaun CIMB Bank miliknya pukul 11.15 malam, 17 Februari 2025 di Felda Nitar 2, Mersing.
Sementara itu, Norlaili pula dituduh secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik Nur Ibratul Humairah Salleh berjumlah RM2,300 ke dalam akaun miliknya pada pukul 5.55 petang, 21 Ogos 2025 di Felda Tenggaroh 1, Mersing.
Mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.-KOSMO! ONLINE














