fbpx
WARGA emas termasuk pesara kini menjadi sasaran mudah scammer untuk mengaut keuntungan

Luahan Pembaca: Pesara ‘rapuh’ buat scammer kaut untung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saudara Pengarang,

Setiap hari kita dikejutkan dengan kes-kes melibatkan kerugian wang hingga ratusan ribu ringgit akibat ditipu scammer terutama dalam kalangan warga emas termasuk pesara.

Scammer yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa undang-undang sering menyasarkan pesara dengan mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah seperti penggubahan wang haram atau dadah.

Mereka akan menakutkan mangsa dan mengarahkan mangsa memindahkan wang simpanan atau wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke ‘akaun selamat’ untuk tujuan siasatan.

Pada April lalu, seorang pesara guru mengalami kerugian yang agak besar iaitu kira-kira RM1.01 juta selepas diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon.

Dalam kejadian itu, mangsa berputih mata apabila wang simpanan peribadi, wang simpanan KWSP, wang hasil jualan rumah, wang pinjaman peribadi, gadaian barang kemas serta hasil pelaburannya lesap dalam sekelip mata.

Persoalan yang sering bermain di fikiran kini mengapa begitu mudah mereka yang terlibat percaya dengan segala janji manis kata scammer?

Adakah mereka tidak maklum dengan kes-kes sedemikian yang disiarkan di akhbar dan media-media sosial hampir setiap hari.

Mungkin kebanyakan daripada mereka kurang cakna dengan perkembangan teknologi terkini termasuk media sosial dan sukar mengenal pasti tanda-tanda amaran penipuan secara online.

Apa yang semua tahu, pesara mempunyai simpanan kewangan hasil kerja keras selama bertahun-tahun, menjadikan mereka sasaran yang mudah dan rapuh memandangkan golongan terbabit cenderung bersikap lebih mempercayai orang lain.

Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab anak-anak atau saudara mara kepada golongan berkenaan agar memaklumkan kepada mereka tentang bahaya scammer yang boleh membawa kerugian yang banyak.

Rugi dan sia-sia wang yang dikumpul dalam tempoh puluhan tahun bekerja siang malam mengumpul harta hilang begitu sahaja. Bertindaklah sebelum terlambat.

Tak mahu rugi
Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN