SEGAMAT – Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Kenawar berhampiran Kampung Paya Lenga, Segamat petang tadi.
Timbalan Penguasa Bomba II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Mohd Aizad Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.48 petang itu melibatkan seorang mangsa berusia 76 tahun.
“Mangsa memandu sebuah kereta jenis Proton Iswara ditemukan berada di dalam kenderaan yang tenggelam di sungai berkenaan.
“Operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas termasuk spinal board dan tali bagi mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan yang terjunam ke sungai.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Segamat dengan menaiki kenderaan polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, seramai lapan orang anggota bersama dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru, Segamat dikejarkan ke tempat kejadian di ketuai oleh Komander Operasi, Mohd Faizal Mohamed Salleh.
Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.46 malam. – KOSMO! ONLINE














