SHAH ALAM – Seorang pemungut hutang yang tular selepas mengurung, mengikat dan meliwat seorang remaja lelaki minggu lalu mencuri perhatian apabila merayu supaya dikenakan hukuman paling berat terhadap dirinya sendiri di mahkamah hari ini.
Tertuduh, Mohamad Fadwan Abd. Muaain, 42, dijatuhi hukuman penjara keseluruhan enam tahun dan tiga sebatan selepas kesemua hukuman diperintahkan bermula dari tarikh tangkap pada 16 Mei lalu.
Ini setelah dia mengaku bersalah atas kesalahan dibawah Seksyen 394, 342, 323, 170 dan 379A Kanun Keseksaan.
Berdasarkan pecahan, duda anak satu itu dikenakan penjara 15 bulan keseluruhan atas dua pertuduhan masing-masing mengurung dan mencederakan remaja lelaki 14 tahun di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 32 di sini antara pukul 8.05 hingga 11.05 pagi.
Kesalahan itu dilakukan dibawah Seksyen 342 dan 323 Kanun Keseksaan dengan setiap kesalahan memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.
Hukuman itu diperintahkan Majistret Wan Noor Nisa Ngadirin.
Di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman pula lelaki itu dipenjara enam bulan bagi kesalahan menyamar anggota polis untuk mencuri wang tunai, telefon bimbit dan dokumen milik wanita warga Indonesia.
Mohamad Fadwan turut dipenjara setahun atas kesalahan mencuri sebuah motosikal jenis Suzuki milik seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah premis pajak gadai di Seksyen 31 kira-kira pukul 8.15 pagi pada 8 Mei lalu.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 170 dan 379A Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.
Di Mahkamah Sesyen, Mohamad Fadwan dipenjara enam tahun dan tiga sebatan kerana merompak seorang wanita warga Indonesia berusia 40 tahun dengan menumbuk dan menendang mangsa sehingga cedera di sebuah rumah kedai kosong di Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning, Seksyen 31, kira-kira pukul 8.05 pagi, 8 Mei lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Sepanjang prosiding pertuduhan hari ini, Mohamad Fadwan secara lantangnya dalam proses rayuan dibuatnya sendiri memohon dikenakan hukuman berat terhadap dirinya.
“Saya mohon hukuman seberat-beratnya,” katanya.
Rayuan luar biasa itu menyebabkan hakim dan majistret beberapa kali mendapatkan kepastian daripada tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan.
Dalam pada itu, Hakim Rasyihah Ghazali menetapkan 8 Jun depan bagi fakta kes dan hukuman selepas tertuduh turut mengaku bersalah atas kesalahan amang seksual terhadap mangsa sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut
Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. S. Rinisha Priyya, Ho Zee Xing, Nur Amirah Zahari dan Alia Anisa Khairus Masnan sementara tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Adli Hakim.
Kosmo! sebelum ini melaporkan suspek yang menjadi buruan selama lima hari selepas melakukan jenayah seksual itu akhirnya berjaya ditangkap pada petang, Sabtu lalu di bilik sewanya di Kuala Lumpur.
Siasatan awal mendapati suspek melarikan diri ke ibu negara dengan menaiki pengangkutan awam sebelum menyewa bilik baharu selepas melakukan jenayah tersebut di daerah ini.
Polis kemudiannya mengesahkan bahawa suspek merupakan seorang bekas banduan dengan semakan pernah disabitkan hukuman penjara selama 17 tahun atas jenayah rogol, merompak dan mengurung seorang wanita pada 2007.
Hasil semakan juga mendapati suspek baharu dibebaskan daripada penjara pada April tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














