PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat di beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan hingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Setiu, Hulu Terengganu dan Dungun di Terengganu dan Pahang (Bentong, Kuantan dan Pekan).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Jelebu, Negeri Sembilan dan Johor Bahru, Johor,” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei (Pakan dan Sarikei), Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu), Kapit, Bintulu (Tatau), Miri (Beluru dan Marudi) dan Limbang.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Tawau, Kunak dan Lahad Datu), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat.
Cuaca buruk itu dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE!














