fbpx
Poster yang dikongsi PHM di Facebook hari ini

1.2 bilion manusia hidup dengan gangguan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hampir 1.2 bilion penduduk di seluruh dunia dilaporkan hidup dengan gangguan mental pada 2023, dengan kes keresahan (anxiety) dan kemurungan mencatatkan peningkatan paling tinggi.

Menerusi hantaran di Facebook, Public Health Malaysia (PHM) mendedahkan kajian terbaharu daripada jurnal perubatan The Lancet yang menunjukkan angka tersebut kini meningkat hampir dua kali ganda berbanding tahun 1990.

Menurut PHM, bebanan gangguan mental kini paling tinggi dikesan dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 19 tahun.

“Usia yang sepatutnya sedang membina keyakinan diri, mengenal dunia dan merancang masa depan, tetapi ramai sedang bergelut dengan resah, tekanan dan rasa tidak mampu yang mereka sendiri susah nak jelaskan.

“Ini mungkin anak yang makin senyap di rumah. Pasangan yang nampak biasa, tetapi kepalanya tidak berhenti berfikir.

“Rakan sekerja yang masih datang bekerja, masih tersenyum, masih jawab ‘saya okay’, tetapi sebenarnya sedang memujuk diri untuk bertahan hari demi hari,” katanya.

PHM berkata, dunia hari ini yang bergerak terlalu laju menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada bebanan emosi yang tidak kelihatan pada wajah seseorang.

Antara pencetus utama yang dikenal pasti termasuklah kos sara hidup, tekanan kerja, konflik keluarga, trauma, kesunyian, impak media sosial serta masalah kurang tidur yang sering dibandingkan setiap masa.

“Sebab itu kita perlu berhenti menganggap masalah mental sebagai ‘lemah iman’, ‘manja’, ‘terlalu fikir’ atau ‘kurang bersyukur’.

“Kadang-kadang orang yang sedang bergelut bukan mahu perhatian. Mereka cuma mahu didengari tanpa dihukum. Mereka mahu ruang untuk berkata, ‘saya tak okay’, tanpa terus dibalas dengan ceramah,” tegasnya.

Sehubungan itu, PHM menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dengan perubahan tingkah laku individu di sekeliling mereka dan mengelakkan sikap terus menghukum atau melabel secara melulu.

“Kalau ada orang di sekeliling kita berubah menjadi pendiam, mudah marah, hilang minat, susah tidur, terlalu cemas atau mula menjauh, jangan terus label. Dekati dengan lembut, tanya khabar, duduk sekejap dan dengar dulu.

“Dalam dunia yang semakin ramai orang sedang sakit dalam diam, kebaikan kecil daripada kita mungkin menjadi ruang pertama untuk seseorang rasa dia masih tidak keseorangan,” pesannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN