JOHOR BAHRU – Tujuh lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan seorang juruteknik ditemui mati dengan beberapa tikaman di dalam sebuah rumah pangsapuri di bandar raya ini, 13 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 45 tahun itu ditahan sekitar Masai dan Mersing, Isnin lalu.
“Tangkapan dibuat hasil risikan dan tindakan susulan polis selepas menemui kereta Perodua Myvi milik mangsa di sekitar Masai.
“Semua suspek direman sehingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Chuan Huat berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan dibuat dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan enam lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki tempatan ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai makanan dan minuman di Pekan Nanas, Pontian awal pagi semalam.
Chuan Huat berkata, tangkapan dilakukan bermula tengah malam hingga awal pagi hari ini di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru hasil operasi khas yang dijalankan.
“Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”katanya.-KOSMO! ONLINE














