BATU PAHAT – Barisan Nasional (BN) Johor yakin mampu mencatat kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini susulan persiapan awal yang dilakukan sejak 2022 dan bukannya hanya dalam tempoh kempen selama 14 hari.
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kelebihan tersebut mungkin tidak disedari pihak lawan, namun menjadi antara faktor penting yang membantu BN memperoleh kemenangan besar.
“Jika BN hanya mula bergerak dalam tempoh seminggu atau dua minggu kempen ini, mungkin kita bimbang tetapi kita telah memulakan gerak kerja lebih awal melalui pelbagai program kerajaan negeri sejak dua tahun lalu,” katanya selepas mengadakan program ziarah kasih ke beberapa rumah asnaf bersama calon BN, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Najib Samuri.
Menurut beliau, strategi tersebut juga membuktikan kebijaksanaan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam memastikan pemimpin dan jentera sentiasa dekat dengan rakyat.
“Inilah kepandaian dan kebijaksanaan Menteri Besar Johor yang dikatakan tidak cerdik oleh sesetengah pihak. Setiap program yang menjurus kepada mendekati rakyat menjadikan mereka berasa dihargai oleh kerajaan dan akhirnya akan diterjemahkan melalui sokongan apabila tiba pilihan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














