fbpx
Gambar Hiasan

PRN Johor: 3,565 petugas PDRM pastikan kelancaran pengundian awal esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menggerakkan seramai 3,565 petugas bagi memastikan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang berlangsung esok berjalan lancar dan terkawal.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, jumlah tersebut merangkumi 647 pegawai, 2,806 anggota serta 112 pegawai awam yang kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Menurut beliau, penugasan itu melibatkan pelbagai aspek termasuk kawalan keselamatan di pusat pengundian awal, pengiringan peti undi, kawalan lalu lintas, rondaan pencegahan jenayah serta pemantauan di lokasi strategik di seluruh negeri.

“Proses pengundian awal ini melibatkan sebanyak 64 pusat mengundi terdiri daripada 53 pusat mengundi awal PDRM dan 11 pusat mengundi awal Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Bagi PRN Johor kali ini, seramai 12,710 pengundi awal PDRM telah berdaftar dengan 12,067 daripadanya akan mengundi secara fizikal di pusat mengundi esok, manakala 643 lagi merupakan pengundi pos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi atau melakukan sebarang pelanggaran undang-undang sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

“Tindakan tegas, adil dan berintegriti akan diambil tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pelaku jenayah atau pelanggar undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, Ab Rahaman menyeru orang ramai agar mematuhi peraturan yang ditetapkan, menghormati proses demokrasi dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas bagi memastikan PRN Johor ke-16 berlangsung dalam suasana aman, selamat serta teratur.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN