fbpx
Tangkap layar rakaman tular memaparkan kekecohan di sebuah sekolah menengah dekat Banting.

[VIDEO] Tikam pelajar: Bunyi orang jerit, wisel ingatkan kebakaran – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai pelajar di sebuah sekolah menengah tempat berlakunya insiden tikam di Banting, Selangor hari ini berkongsi detik cemas yang disifatkannya sebagai pengalaman paling menakutkan.

Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna menggunakan nama @your_mom9386 berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang tidur di dalam kelas sebelum dikejutkan dengan jeritan pelajar dan bunyi wisel.

“Ramai budak jerit kuat-kuat dan ada orang tiup wisel. Saya ingatkan sekolah terbakar, tetapi saya tak nampak api langsung,” katanya.

Dakwanya, sebaik membuka mata dia ternampak seorang individu memakai baju hitam dan seluar sukan sambil memegang sebilah pisau sehingga menyebabkan dia terpinga-pinga.

“Saya sangat keliru sebab baru bangun tidur. Kemudian abang-abang Tingkatan Empat dan Lima pergi kejar budak itu. Mereka baling kerusi dan penyapu,” dakwanya.

Pelajar itu mendakwa, individu berkenaan kemudian berpatah balik dan bergerak ke arahnya sehingga dia terus melarikan diri tanpa memikirkan apa-apa.

“Seorang cikgu tarik saya masuk ke dalam makmal dan terus mengunci pintu. Dalam makmal itu ada kira-kira 20 pelajar termasuk saya.

“Kami hanya mampu menunggu sambil melihat keadaan di luar melalui tingkap,” katanya.

Dakwanya lagi, dia melihat pelajar Tingkatan Tiga, Empat dan Lima berkumpul di padang sekolah sebelum dimaklumkan bahawa suspek telah berjaya ditahan.

Dalam hantaran sama, pelajar itu turut mendakwa terdengar cerita bahawa suspek dipercayai mahu menyerang individu yang didakwa pernah membulinya, namun sasaran sebenar tidak hadir ke sekolah pada hari kejadian.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengesahkan seorang murid yang cedera dalam insiden itu sedang menerima rawatan di hospital, manakala suspek telah ditahan polis.

JPN Selangor turut memaklumkan pasukan kaunselor serta Guru Bimbingan dan Kaunseling telah digerakkan bagi memberikan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN