LIMA tahun menduda, aktor Bollywood, Aamir Khan bergelar suami buat kali ketiga apabila berkahwin dengan ahli perniagaan juga perunding gaya, Gauri Spratt di kediamannya di Mumbai, India, semalam.
Memilih majlis sederhana tanpa percikan glamor di hotel mewah, Aamir, 61, hanya mengundang ahli keluarga serta rakan terdekat ke hari bersejarahnya.
Antara jemputan ialah bekas pemain kriket India, Irfan Pathan, pengarah terkenal, Ashutosh Gowariker serta dua anak Aamir, Junaid Khan dan Ira Khan, selain seorang anak Gauri.
Menerusi video yang tular di laman sosial, Aamir, 61, dan usahawan terbabit duduk di lantai menandatangani dokumen pendaftaran perkahwinan sebagai simbolik penyatuan.
Tetamu yang memeriahkan majlis pula dilihat berdiri di sekeliling mereka sepanjang upacara berlangsung.
Pasangan terbabit berkenalan sejak 25 tahun lalu namun hanya menjalin hubungan cinta sekitar 2024.
Perkahwinan tersebut merupakan yang ketiga buat Aamir, manakala Gauri juga pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini.
Sebelum ini, bintang filem 3 Idiots itu pernah berkahwin dengan Reena Dutta pada 1986 sebelum bercerai selepas 16 tahun bersama.
Aamir kemudian berkahwin dengan pengarah filem, Kiran Rao pada 2005, namun hubungan mereka berakhir dengan perceraian pada 2021.
Hasil dua perkahwinan terdahulu, pelakon popular itu dikurniakan tiga cahaya mata termasuk dengan Kiran, Azad Rao Khan, 14 tahun. – KOSMO! ONLINE














