PETALING JAYA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan murid yang cedera dalam insiden tikam di sebuah sekolah di negeri ini hari ini sedang menerima rawatan di hospital, manakala suspek telah ditahan polis.
JPN Selangor dalam kenyataan berkata, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
Menurut kenyataan itu, keutamaan ketika ini adalah memastikan murid yang tercedera menerima rawatan terbaik selain bantuan sewajarnya disalurkan kepada keluarga mangsa.
“Pasukan kaunselor dan guru bimbingan dan kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah tersebut.
“JPN Selangor memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Sehubungan itu, JPN Selangor meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh mengganggu proses siasatan.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan cedera dalam insiden tikam yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Banting, manakala suspek berjaya ditahan polis.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan motif sebenar kejadian. – KOSMO! ONLINE














