BATU PAHAT – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilihat tidak berminat melayan cabaran debat daripada calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Maszlee Malik, sebaliknya menyindir bekas Menteri Pendidikan itu supaya memberi tumpuan kepada kawasan yang ditandinginya sendiri.
Menteri Besar Johor itu menegaskan, Maszlee yang kini bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa sepatutnya terlebih dahulu menjawab persoalan berkaitan janji terdahulu yang didakwa masih belum ditunaikan ketika mewakili Simpang Renggam.
Menurut beliau, isu berdebat bukan keutamaan apabila calon berkenaan sendiri didakwa masih mempunyai perkara yang perlu diperjelaskan kepada rakyat.
“Saya bukan berlawan dengan dia di Simpang Renggam. Dia lari dari Simpang Renggam kan?
“Jadi kalau dia nak berdebat ataupun dialog, dia pergilah dengan orang di sana (Puteri Wangsa). Apa kena-mengena dengan kawasan saya di Machap?” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program kempen BN di DUN Semerah di sini hari ini.
Turut hadir calon BN DUN Semerah yang juga penyandang kerusi berkenaan, Mohd Fared Mohd Khalid.
Onn Hafiz turut mendakwa penduduk Simpang Renggam masih menanti beberapa janji yang pernah dibuat Maszlee sebelum ini.
“Orang Simpang Renggam masih menuntut janji dia. Dia janji nak bagi tol percuma, sampai sekarang tidak ditunaikan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Onn Hafiz turut menolak dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan bagi membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai naratif lama yang sengaja dimainkan bagi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap BN.
“Tak ada kena-mengena dengan Datuk Seri Najib dan ini antara contoh hasutan yang dibuat kepada rakyat untuk bagi orang marah dan benci, tetapi Bangsa Johor tidak begitu.
“Kita lebih cerdik daripada apa yang mereka fikirkan dan lagi kuat naratif ini dimainkan, lagi ramai orang tidak percaya,” katanya.
Tambah beliau, taktik memainkan sentimen tertentu bukan perkara baharu dan sering digunakan sebagai senjata politik ketika musim pilihan raya.
“Itulah cara mereka daripada dulu, menghasut dan menjanjikan bulan bintang. Itu strategi mereka dan itu mentaliti pembangkang,” katanya.-KOSMO! ONLINE














