PETALING JAYA – Seramai 169,803 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi UPUOnline bagi sesi kemasukan tahun ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah itu mewakili 72.11 peratus daripada keseluruhan 235,480 permohonan layak yang diterima daripada lepasan SPM.
Menurutnya, daripada jumlah calon yang berjaya itu, seramai 91,357 calon ditawarkan tempat di Universiti Awam (UA), diikuti 60,947 di politeknik, 15,844 di Kolej Komuniti dan 1,655 lagi di MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
“KPT menawarkan laluan khas kepada 701 Orang Kurang Upaya (OKU), 310 Orang Asli, 179 atlet dan 10,499 calon kategori B40.
“Selain itu, seramai 65 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menerima tawaran kemasukan,” katanya.
Tambahnya, buat pertama kali semua program pengajian turut dibuka kepada calon OKU berdasarkan kelayakan dan kesesuaian masing-masing bagi memperluas akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan adil.
KPT turut memaklumkan pihaknya mengambil inisiatif menawarkan tempat kepada calon yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dan ke atas sebagai usaha memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang sewajarnya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Secara keseluruhan, sebanyak 363 program pengajian ditawarkan pada sesi kali ini melibatkan 41 program sijil, 57 asasi, 264 diploma dan satu ijazah sarjana muda.
“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” jelasnya.
Dalam pada itu, KPT memaklumkan calon yang tidak berjaya mendapat tawaran masih berpeluang membuat rayuan menerusi UPUOnline bermula hari ini sehingga 31 Mei depan pukul 5 petang.
“Tawaran peluang kedua itu dibuka selama 10 hari bermula 22 Mei 2026 pukul 12 tengah hari,” katanya.- KOSMO! ONLINE














