fbpx
KELIHATAN kakitangan PKD melakukan kerja-kerja meracun tikus di Taman Eko Rimba Ulu Bendul. -MEDIA SOSIAL

Tujuh lagi kena kencing tikus, Ulu Bendul ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA PILAH – Kawasan rekreasi Taman Eko Rimba Ulu Bendul di sini ditutup sepenuhnya bagi sebarang aktiviti sehingga 23 Jun ini ekoran tujuh lagi kes baharu kencing tikus dilaporkan berlaku di situ.

Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Ts. Mohd Yussainy Md Yusop berkata, langkah berkenaan diambil bagi membolehkan pihak pengurusan menjalankan kerja-kerja sanitasi, pembersihan rapi, dan pemantauan kualiti air demi memastikan keselamatan pengunjung pada masa hadapan.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah (PKD) telah memberi cadangan arahan penutupan sementara kawasan rekreasi berkenaan bagi membendung penularan wabak Leptospirosis.

“PKD Kuala Pilah telah menerima pertambahan tujuh kes leptospirosis disahkan positif pada 18 Mei lalu yang melibatkan individu yang mempunyai sejarah mandi di kawasan berkenaan pada 10 Mei lalu.

“Dengan pertambahan tersebut, jumlah keseluruhan kes yang positif leptospirosis adalah sebanyak 11 kes. Tempoh penutupan itu adalah dengan mengambil kira tempoh inkubasi daripada tarikh onset kes terakhir yang bergejala.

“Tarikh onset terakhir kes yang direkodkan adalah pada 15 Mei lalu. Langkah ini bertujuan untuk mengekang serta mengawal pertambahan kes,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Ujar Mohd Yussainy lagi, sepanjang tempoh tersebut, orang awam dilarang menceroboh masuk ke kawasan berkenaan dan kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan sedia ada.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN