PETALING JAYA – Seni Jaya Corporation Berhad (Seni Jaya) pakar media Luar Rumah (OOH) mencatat pendapatan sebanyak RM20.2 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, tumbuh 18 peratus tahun ke tahun (YoY) daripada RM17.1 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 134 peratus tahun ke tahun kepada RM4.8 juta daripada RM2.1 juta sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM3.2 juta berbanding RM2.1 juta yang dicatatkan pada S3 TK2025.
Menurut kenyataan, prestasi suku tahunan yang lebih kukuh ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan permintaan merentasi semua segmen papan iklan, dengan pengiklanan papan iklan digital muncul sebagai penyumbang utama.
“Hasil daripada papan iklan digital meningkat sebanyak RM3.7 juta, mewakili peningkatan 49 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun lepas, mencerminkan peningkatan pilihan pengiklan untuk format OOH digital yang berimpak lebih tinggi dan lebih dinamik,” katanya.
Bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 31 Mac 2026, Seni Jaya mencatatkan hasil sebanyak RM65.1 juta, peningkatan sebanyak 21 peratus daripada RM53.9 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, manakala PBT kumulatif meningkat 40 peratus YoY kepada RM15.4 juta daripada RM11.1 juta.
“Prestasi sembilan bulan yang lebih kukuh ini mencerminkan peningkatan berterusan dalam penggunaan papan iklan, pelaksanaan operasi yang lebih kukuh dan sumbangan daripada inisiatif strategik Kumpulan yang berterusan,” ujarnya.
Selain itu, berdasarkan kepada suku tahunan (QoQ), PBT suku ketiga TK2026 Kumpulan menurun sebanyak 20 peratus daripada RM6.0 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya, selaras dengan trend bermusim biasa. -KOSMO! ONLINE














