fbpx
AMENG

Rokok pun saya sudah berhenti – Ameng Spring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“TAHULAH hidup saya susah tetapi jangan hina atau fitnah saya begini.”

Itu luahan rasa terkilan penyanyi Ameng apabila difitnah telah kembali terjebak dengan najis dadah gara-gara dilihat terlibat dalam sebuah persembahan langsung menerusi Facebook (FB) beberapa hari lalu.
Ameng atau nama sebenar Wan Aminuddin Wan Ismail mengakui fitnah dilayangkan dua individu tersebut membuatkan orang ramai enggan lagi memberikan sokongan terhadap persembahan Facebook Artiste Voice of Legend (AVOL).

Katanya, dia kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang masih bersangka buruk terhadap bekas penagih, apatah lagi sudah 12 tahun dirinya ‘bersih’ daripada bahan terlarang tersebut.

“Saya perasan memang ada yang mengaitkan saya dengan dadah sejak minggu pertama AVOL berlangsung secara maya itu tetapi ketika itu saya masih bertimbang rasa kerana kasihankan mereka.

“Lama- kelamaan keadaan menjadi seperti tidak terkawal apabila ada yang berani untuk terus menfitnah saya. Terbaharu, kononnya saya kacip gigi sebab dadah.

“Gara-gara fitnah, hari ini tiada langsung duit masuk sebab orang takut saya beli dadah sedangkan kebiasaannya orang salurkan sumbangan boleh mencecah RM150 sehari.

“Tuduhan itu bukan saja memalukan keluarga saya, bahkan turut menjejaskan pendapatan rakan-rakan lain yang sama-sama menjayakan persembahan nyanyian virtual ini,” ujar Ameng.

AMENG terpaksa membuat laporan polis demi nama baiknya daripada terus difitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tidak berdiam diri, Ameng turut membuat laporan polis bagi membersihkan namanya daripada diaibkan, selain dapat dijadikan pengajaran untuk individu lain.

Laporan di Balai Polis Danau Kota Setapak, Kuala Lumpur pada 14 Jun tersebut menuntutdua individu yang dikenal pasti untuk meminta aaf secara terbuka atau bersedia berdepan tindakan undang-undang.

Terdahulu, isu dadah dicetuskan seorang netizen yang meninggalkan komen mengatakan Ameng masih terlibat dengan penagihan dadah kerana mengacipkan gigi (ketap gigi) ketika membuat persembahan.

Komen individu tersebut kemudian disokong seorang lagi pengguna Facebook, seolah-olah bersetuju vokalis Spring itu kembali ke kancah penagihan dadah.

Luah Ameng lagi, tuduhan dilemparkan sangat sensitif memandangkan statusnya sebagai bekas banduan, membuatkan orang ramai mudah mempercayai fitnah sedemikian.

“Orang mungkin nampak komen itu sekadar gurauan, namun ramai yang percaya kalau saya terus diamkan diri. Saya bukan saja sudah ‘bersih’, merokok pun dah berhenti.

“Selain menyanyi ‘live’ dalam Facebook, saya juga gunakan medium sama untuk pelbagai aktiviti lain termasuk keagamaan dan bacaan al-Quran.

“Kalau mereka nampak saya seperti ambil dadah semula, saya cabar buat tindakan ikut saluran yang betul. Laporkan sahaja kepada pihak berwajib sebab saya tahu saya tak bersalah, bukannya aibkan begini.

“Jika berani, jom bersemuka dan cakap di depan saya. Laporan polis ini juga sebagai pengajaran kepada semua supaya jangan mudah cap bekas penagih. Kalau tak sokong pun, jangan fitnah,” katanya lagi.

MENERUSI persembahan dalam Facebook Artiste Voice of Legend (AVOL), Ameng dan beberapa artis otai terlibat setidak-tidaknya beroleh sedikit pendapatan hasil sumbangan RM1 oleh peminat yang menonton persembahan mereka.

Konsert virtual

Berbalik tentang persembahan virtual AVOL, program yang dicetuskan penyanyi Fredo bersama Jatt dan Hasnol tersebut membawakan persembahan secara langsung dalam Facebook sejak 2 Jun lalu, pukul 5 petang setiap hari.

Ameng bersetuju menyertai rancangan yang mensasarkan sumbangan RM1 daripada penonton disebabkan desakan hilang sumber kewangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Akur dengan penguatkuasaan demi memutuskan rantaian penularan Covid-19, dia dan rakan-rakannya mencari rezeki dengan menghiburkan peminat menerusi platform digital.