fbpx
Mohamed Khaled

Nahas pegawai tentera mabuk: Mindef serah siasatan kepada PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan berhubung kes kemalangan maut di Kilometer 1.9 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), awal pagi tadi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang kesimpulan awal walaupun individu yang terlibat merupakan seorang pegawai tentera.

“Biarlah polis lakukan siasatan. Saya tidak dapat menentukan apa-apa buat masa ini. Walaupun ia melibatkan anggota tentera, kita beri ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang pegawai tentera disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa seorang lelaki warga Bangladesh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.38 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang memandu kereta jenis Ford Fiesta dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Perodua Alza e-hailing yang membawa dua penumpang warga Bangladesh yang baharu tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Akibat pelanggaran tersebut, seorang penumpang lelaki berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala dua penumpang wanita berusia 20 dan 36 tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Pemandu Alza turut mengalami kecederaan di kepala, sementara pemandu Ford Fiesta hanya cedera ringan.

Siasatan awal mendapati ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu Ford Fiesta menunjukkan bacaan melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing didapati negatif.

Susulan itu, suspek telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN