JAKARTA – Suasana tenang sebuah kafe di Indonesia bertukar kecoh apabila dimasuki oleh ‘tetamu’ tidak diundang iaitu seekor biawak berukuran agak besar, lapor agensi berita Radar Kediri.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup(CCTV) menunjukkan seekor biawak bersahaja merangkak masuk ke dalam kafe tersebut. Lokasi sebenar kejadian bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Uniknya, reptilia itu masuk menerusi pintu utama dengan menolak pintu kaca yang kebetulan tidak ditutup rapat, sama seperti dilakukan manusia.
Kehadiran mengejut biawak membuatkan para pengunjung dan pekerja kafe bertempiaran lari ketakutan.
Insiden melucukan itu mendapat perhatian meluas di media sosial dengan pelbagai reaksi mencuit hati daripada netizen.
Ramai pengguna media sosial berseloroh memuji ‘kesopanan’ biawak tersebut kerana menggunakan pintu hadapan, malah ada yang bergurau dengan berkata, haiwan itu hanya mahu menyertai pelanggan lain melepak serta memesan minuman di kafe berkenaan. – AGENSI














