fbpx
Gambar hiasan

Pekerja kedai serbaneka disamun lelaki bersenjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja warga Bangladesh berdepan detik cemas apabila disamun seorang lelaki bersenjata dipercayai pistol dalam kejadian di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sibu, Taman Wahyu di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada pengurus operasi premis berusia 44 tahun pada pukul 10.01 pagi.

Menurut beliau, pengadu dimaklumkan oleh pekerjanya bahawa kejadian berlaku kira-kira pukul 5.45 pagi ketika mangsa sedang bertugas di premis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek yang dipercayai lelaki tempatan memakai baju sejuk dan seluar berwarna kelabu, topi keledar hitam jenis MS serta beg silang hitam memasuki premis itu.

“Suspek mengambil beberapa barangan makanan daripada rak jualan sebelum menuju ke kaunter pembayaran dan mengarahkan mangsa membuka laci mesin juruwang yang menyimpan wang hasil jualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian mengugut mangsa dengan menunjukkan sepucuk pistol sebelum melarikan wang tunai serta beberapa barangan menggunakan sebuah motosikal bernombor pendaftaran WC357T yang diparkir di hadapan premis.

“Anggaran kerugian yang dialami adalah kira-kira RM1,052,” katanya.

Menurut Basri, polis telah melancarkan operasi khas bagi mengesan dan memberkas suspek dengan kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Iskandar Zulkarnain di talian 011-33234095 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN