SETIU – Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak dua kedai runcit berasingan di daerah Besut dekat sini melibatkan kerugian keseluruhan RM1,300 pada akhir bulan lalu dan awal bulan ini.
Kedua-dua tertuduh, Muhammad Aidil Adhar Ruzi, 24, dan Mohd. Noorhermie Mazuki, 35, membuat pengakuan bersalah sebaik kesemua pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.
Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka didakwa merompak sebuah kedai runcit dengan bersenjatakan sebilah parang di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut pada pukul 12.24 tengah malam, 7 Julai lalu.
Muhammad Aidil Adhar dan Mohd. Noorhermie didakwa melarikan wang tunai RM800 milik pengusaha kedai runcit itu yang merupakan seorang wanita berusia 53 tahun.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan jika sakit kesalahan.
Mereka bersama seorang lagi yang masih bebas turut menghadapi satu lagi pertuduhan merompak sebuah kedai runcit lain di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut juga dengan bersenjatakan sebilah parang pada 1.54 pagi, 29 Jun lalu.
Muhammad Aidil Adhar dan Mohd. Noorhermie didakwa melarikan wang tunai RM500 milik pengusaha kedai runcit itu yang merupakan seorang wanita berusia 37 tahun.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sakit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














