PETALING JAYA – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Amin Kamarulzaman (Khairul Aming) menerusi peguamnya telah mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada sebuah syarikat telekomunikasi.
Tindakan itu dilakukan selepas maklumat bil telefon peribadinya dipercayai telah dibocorkan kepada pihak lain.
Khairul Aming hari ini berkata, laporan rasmi juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk buka siasatan ke atas pelaku.
“Laporan kebocoran data telah dibuat kepada Sistem Perlindungan Data Peribadi,” katanya di media sosial, hari ini.
Tambah beliau, para peguamnya akan mengambil alih kes berkenaan sehingga semuanya selesai.
“Sejujurnya rasa sedih dan seram sebab semudah tu je privasi hidup boleh hilang.
“Butiran telefon, sejarah pembayaran, langganan, sampai ke nombor kad pengenalan boleh akses MySara (pun) semuanya bocor,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Khairul Aming menuntut penjelasan daripada sebuah syarikat telekomunikasi selepas mendakwa maklumat bil telefon peribadinya dipercayai telah dibocorkan kepada pihak lain.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, Khairul Aming mempersoalkan bagaimana seorang individu boleh mengetahui butiran bil telefon bimbitnya sehingga mendedahkannya secara terbuka di media sosial.
Ia susulan seorang pengguna Threads mendakwa Khairul Aming mempunyai tunggakan bil berjumlah RM498 selain mendakwa talian telefon berkenaan disekat kerana bayaran tidak mencukupi.
Individu itu turut mendakwa baki bayaran pendahuluan sebanyak RM2,000 yang dibuat bagi tempoh setahun tidak mencukupi susulan terdapat pembelian tambahan digital yang mencecah lebih RM400. – KOSMO! ONLINE














