KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes melepaskan tembakan di ibu negara dalam serbuan di Klang, Selangor, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 33 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.45 malam.
Menurut beliau, polis turut merampas sepucuk pistol bersama sebutir peluru hidup serta sepucuk pistol tiruan dalam operasi berkenaan.
“Semakan mendapati suspek pertama mempunyai lima rekod jenayah, manakala suspek kedua memiliki 17 rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 29 April bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes masih dalam siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














