KUALA LUMPUR – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 menjadi platform diplomasi pertahanan apabila menghimpunkan pelbagai negara di tengah ketegangan geopolitik global.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran acara itu bukan sekadar pameran aset ketenteraan, malah mencerminkan pendekatan berkecuali Malaysia dalam menjalin hubungan dengan pelbagai negara.
“Seperti biasa, selain daripada ia sebagai satu pameran, kita juga telah menunjukkan bagaimana Malaysia mengamalkan pendekatan berkecuali.
“Kita dapat menganjurkan program seperti ini menghimpunkan negara-negara yang bersaing mahupun yang bekerjasama dalam satu platform,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup DSA & NATSEC ASIA 2026 di sini hari ini.
Menurut beliau, penganjuran DSA turut menjadi pemangkin kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan perniagaan serta memperkenalkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.
Katanya, langkah itu sekali gus membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.
“Program ini juga membolehkan syarikat tempatan dikenali oleh pengeluar peralatan asal (OEM), sekali gus memudahkan pematuhan kepada syarat kerajaan.
“Kita menetapkan bahawa setiap perolehan pertahanan mesti mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus komponen tempatan,” jelasnya.
Tambah beliau, syarikat luar negara juga kini lebih bersedia untuk mengenal pasti rakan tempatan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dalam sektor pertahanan.
“Tetapan kerajaan adalah jelas iaitu kita tidak lagi membenarkan syarikat luar negara mengambil alih kerja-kerja MRO dalam sektor pertahanan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, DSA turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara negara melalui pendekatan diplomasi pertahanan.
“Dalam dunia yang sentiasa berdepan konflik ketika ini, kita berjaya mewujudkan platform untuk pertemuan antara negara. Ia bukan sahaja untuk berkongsi pandangan, tetapi juga meningkatkan hubungan melalui pertemuan dua hala yang amat penting,” katanya.
Beliau menegaskan, aspek diplomasi pertahanan merupakan elemen penting selain keupayaan aset dan tahap kesiapsiagaan dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
DSA 2026 menyaksikan sebanyak 1,456 syarikat pempamer dari 63 negara terlibat dalam edisi kali ini, menunjukkan peningkatan berbanding 1,324 syarikat mewakili 60 negara pada edisi sebelumnya. – KOSMO! ONLINE














