fbpx
Mohamed Khaled ketika berucap pada perasmian Putrajaya Forum 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

Industri pertahanan di titik perubahan kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Industri pertahanan berada pada titik perubahan kritikal berikutan perkembangan pesat sains dan teknologi yang mengubah semula asas landskap peperangan moden.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI), sistem autonomi, teknologi kuantum, hipersonik dan bioteknologi bukan sahaja mengubah cara peperangan dilaksanakan, malah mentakrif semula konsep kuasa ketenteraan.

Menurut beliau, dunia kini berdepan persekitaran keselamatan yang semakin kompleks, memerlukan setiap negara bertindak pantas menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

“Teknologi ini bersifat disruptif dan mengalihkan fokus daripada aset tradisional kepada sistem yang saling berhubung dan autonomi. Ini mewujudkan paradigma peperangan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Putrajaya di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC), di sini hari ini.

Tema Forum Putrajaya iaitu ‘Keselamatan ASEAN di Ambang Teknologi Baharu’ dipilih bagi merangsang perbincangan bermakna serta membuka jalan kepada tindakan konkrit.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kekuatan ketenteraan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada aset mahal, sebaliknya kepada pendekatan baharu seperti penggunaan dron kos rendah secara besar-besaran.

“Perkakasan kini bukan lagi keutamaan utama. Sebaliknya, kekuatan sebenar terletak pada tulang belakang digital, data dan keupayaan AI,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa penguasaan maklumat menjadi faktor penentu dalam peperangan moden, di mana keupayaan mengumpul dan memproses data dengan pantas mampu memberi kelebihan strategik kepada sesebuah negara.

“Medan tempur masa depan akan ditentukan oleh keterhubungan, ketepatan dan keupayaan pemusnahan. Kita mesti mendahului lawan dengan sistem yang bersepadu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa negara-negara ASEAN supaya memahami perubahan ini dan bertindak segera, memandangkan rantau ini semakin terdedah kepada dinamika keselamatan baharu.

“Rantau ini perlu melangkaui pelaburan semata-mata dengan memberi tumpuan kepada transformasi serta mengimbangi kemajuan teknologi dengan etika dan tanggungjawab,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN