fbpx
HAKIM Danish bergelut ketika sesi kelayakan di Grand Prix Hungary. -ZKRACING

Hakim Danish sedia bangkit dari petak ke-19 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kegagalan mara ke sesi Kelayakan 2 (Q2) tidak mematahkan semangat pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli apabila dia tetap optimis mampu mencabar kelompok hadapan meskipun bakal memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Hungary dari petak ke-19 esok.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berdepan cabaran menyesuaikan diri dengan Litar Balaton Park yang menjadi venue baharu buat Hakim Danish berlumba di litar berkenaan.

Hakim dilihat bergelut terutama di sektor pertama litar sebelum mencatat masa 1 minit 46.949 saat (s) pada sesi Kelayakan 1 (Q1) sekali gus meletakkannya di petak ke-19 keseluruhan bagi perlumbaan esok.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mengakui sedikit kecewa kerana gagal melangkah ke Q2, namun tetap melihat peningkatan catatan masanya sebagai perkembangan positif menjelang perlumbaan sebenar.

“Sudah tentu saya sedikit kecewa hari ini kerana tidak berjaya mara ke Q2. Walaupun begitu, saya berpuas hati dengan peningkatan catatan masa yang dicapai dalam Q1, namun ia masih belum mencukupi untuk melayakkan diri ke Q2.

“Saya masih mempunyai beberapa aspek yang perlu diperbaiki, khususnya di bahagian chicane dan zon brek. Saya akan terus bekerja keras bersama pasukan untuk mencari penambahbaikan menjelang perlumbaan sebenar esok.

“Bagi perlumbaan esok, sasaran saya adalah untuk kekal fokus, memintas sebanyak mungkin pelumba di hadapan saya dengan pantas pada peringkat awal dan cuba merapatkan jurang dengan kelompok hadapan bagi mendapatkan keputusan yang positif,” katanya.

Hakim yang mencipta sejarah menaiki podium Kejuaraan Dunia Moto3 di Mugello, Itali minggu lalu mahu menjadikan pencapaian tersebut sebagai pembakar semangat untuk terus bersaing dalam kelompok terbaik dunia.

Momentum positif yang diraih di Mugello turut menyuntik keyakinan buat pelumba berusia 19 tahun itu untuk melakar satu lagi keputusan memberangsangkan di Hungary walaupun memulakan perlumbaan dari barisan ketujuh.

Sementara itu, petak utama perlumbaan menjadi milik pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa selepas mencatat masa terpantas 1:45.686s pada sesi kelayakan.

Pelumba CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles dan Brian Uriarte dari Red Bull KTM Ajo melengkapkan barisan hadapan selepas masing-masing mencatat masa 1:45.750s dan 1:46.323s. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN