
IPOH – Pembangunan bercampur Dennistown akan menjadi projek hartanah yang dijadikan sebagai asas persediaan kerajaan negeri menerusi Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) untuk menghadapi jangkaan lonjakan permintaan pasaran.
Pertambahan permintaan ini dijangkakan seiring dengan projek pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).
Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Zulkefli Abdullah berkata, jangkaan permintaan berkenaan dapat dilihat sebelum ini di Tanjung Malim menerusi satu lagi projek berimpak tinggi di Perak iaitu Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).
Menurut beliau, pembangunan Dennistown yang melibatkan kawasan seluas 58.2 hektar itu adalah satu keperluan bagi menampung kemasukan pekerja dan keluarga mereka ke daerah tersebut.
“Konsepnya sama seperti AHTP Tanjung Malim. SSI tak terlibat dengan projek itu secara terus tetapi kami melihat apa keperluan sekiranya industri ada di situ.
“Peniaga-peniaga memerlukan rumah kedai, kalau tidak pun mereka boleh membuka restoran atau kafe. Kita boleh menyediakan itu.
“Pekerja-pekerja pula memerlukan rumah. Kita menyediakan (rumah dan infrastruktur) berdasarkan jangkaan permintaan daripada limpahan industri yang akan dibangunkan di sesuatu tempat. Itu peranan kita,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Zulkefli berkata, pembangunan Dennistown merangkumi pelbagai jenis kediaman termasuk rumah teres satu dan dua tingkat, rumah berkembar, Rumah Perakku 1, 2 dan 3, rumah bandar, kedai pejabat serta Kuarters Penjawat Awam Daerah Kerian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kira-kira 32 hektar tanah di Dennistown telah dibangunkan oleh unit kediaman yang menyediakan projek seperti Rumah Perakku.
Baki kawasan yang lain pula, masih dalam fasa pembangunan dan dijangka siap menjelang 2030, sekali gus melengkapkan pembinaan sekitar 1,500 unit perumahan dan lain-lain yang menelan belanja antara RM350 hingga RM400 juta.
“Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian pula menjadi salah satu tanggungjawab SSI kepada kerajaan negeri apabila kita membangunkan suatu kawasan. Inilah sumbangan yang kita bagi balik kepada kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang peruntukan untuk pembinaan projek ini. Nilai pembangunan kompleks ini ialah RM42.5 juta dan kalau kita kira sekali dengan kuarters penjawat awam, nilainya menjadi RM51.5 juta,” terangnya.
Zulkefli berkata, Kompleks Pentadbiran Kerian itu adalah pembangunan strategik SSI yang menjadi nadi pentadbiran daerah dan direka berkonsep moden, praktikal serta mesra pengguna.
Tambah beliau, ia dilengkapi bangunan pejabat empat dan dua tingkat, dewan serbaguna serta kafeteria bagi mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan menyokong kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Pembinaan kompleks ini adalah sebahagian daripada komponen dalam pembangunan bercampur Dennistown,” katanya.
Projek Pembangunan Bercampur Dennistown adalah selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan kepada pembangunan inklusif, sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap serta kesejahteraan rakyat sebagai fokus utam














